
LEGASI Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh kini diteruskan cicitnya, Ghazia Gurnawan yang baru sahaja menamatkan pengajian Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Lebih membanggakan, Ghazia yang juga cucu kepada Nasir P. Ramlee berjaya menggenggam diploma walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik sebelum ini.
“Saya tidak mempunyai kepakaran dalam muzik, orang kata kosong latar belakang. Alhamdulillah saya tamat dengan jayanya,” katanya penuh rasa syukur.
Mengimbas kembali perjalanan pengajiannya, Ghazia mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana seni muzik menuntut pemahaman teknikal yang unik dan berbeza daripada sistem pembelajaran biasa.
“Kalau di sekolah, kita biasa nampak nombor. Tetapi, bila dalam muzik, nombor itu jadi kuaver, krocet, minim. Sangat baharu, memang susah nak faham pada awalnya,” jelasnya.
Namun, berkat usaha dan ketekunan, Ghazia akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.
Sebagai seorang anak seni, Ghazia tidak mahu berhenti setakat itu sahaja. Beliau bercita-cita untuk mengembangkan bakatnya dalam pelbagai cabang seni termasuk muzik, filem dan penulisan skrip.
“Harapan saya selepas graduasi ini ingin menempatkan diri di pentas besar atau pun bekerja dengan syarikat-syarikat media hiburan di Malaysia. Kalau bukan sebagai pemuzik pun, mungkin jadi pengarah atau kru,”
ujarnya penuh tekad.Kejayaan ini turut didorong oleh keluarga yang sentiasa memberi sokongan. Menurut Ghazia, ibu bapanya sangat terbuka dengan pilihan yang dibuatnya dan bangga dengan apa yang telah dicapai.
Kini, Ghazia dalam proses melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Muzik Perniagaan di UiTM Shah Alam selepas berjaya menempatkan diri dalam program tersebut.
“Keputusan itu telah diumumkan. Alhamdulillah saya berjaya menempatkan diri dalam sarjana muzik seni perniagaan. Insya-Allah saya akan sambung belajar selepas ini,” katanya lagi.
Kisah Ghazia menjadi bukti bahawa legasi bukan hanya diwarisi melalui nama besar semata-mata, tetapi juga melalui usaha, semangat dan keberanian untuk mencipta laluan sendiri. Buat remaja di luar sana, inilah contoh bahawa mimpi besar boleh dicapai walaupun bermula daripada kosong, asalkan ada tekad dan kesungguhan.
BACA LAGI : Dapat Ilham Lirik Lagu & Skrip Saat Di Bilik Mandi, Arwah Saloma Dedah Sisi Unik Allahyarham P. Ramlee
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.