
Francais kafe pemanis mulut terkenal di Sabah, Chunk & Dunk mengesahkan pembukaan cawangan antarabangsa pertamanya di Filipina pada April ini.
Perkembangan tersebut menandakan satu lagi pencapaian besar buat jenama F&B tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta manisan, khususnya di Sabah.
Dikenali dengan sajian ikonik croffle (atau croissant-waffle), Chunk & Dunk terlebih dahulu membina reputasi kukuh di Sabah melalui pembukaan lima buah cawangan dan sebuah lagi di Kuching, Sarawak sebelum memulakan langkah menembusi pasaran Asia Tenggara.
Bercakap mengenai perkembangan positif ini, pengasasnya Adam Shamil menyifatkan langkah ke peringkat antarabangsa ini bukan sahaja satu kebanggaan besar buat pasukannya yang selama ini bertungkus-lumus membangunkan jenama tersebut.
Menurutnya, ia bukan sekadar menjadi pencapaian peribadi, malah mencerminkan bahawa jenama tempatan dari Sabah mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Tambahan pula, ia merupakan jenama pertama yang dimiliki oleh anak Sabah untuk berbuat sedemikian.
Secara tidak langsung, ia membuka ruang dan inspirasi kepada lebih banyak usahawan tempatan di Sabah untuk mengejar impian mereka dalam dunia perniagaan.
Jika diikutkan, terdapat banyak kafe yang menawarkan menu pemanis mulut. Namun, apa yang membuatkan Chunk & Dunk tampil berbeza adalah disebabkan imej dan konsepnya yang unik.
Kafe ini menampilkan tata hias ‘bubble-gum pink’ yang diinspirasi daripada gaya diner era 50-an sekaligus memberikan suasana ceria dan ‘Instagrammable’ kepada pengunjung.
Selain visual yang menarik, pelbagai pilihan croffle toppings seperti Bueno Bueno, Lotus Biscoff dan Callebaut 823 Milk Chocolate; Chunk & Dunk turut menjadi daya penarik utama.
Chunk & Dunk turut menyajikan menu ‘shaved ice’ (mirip ABC) dengan pelbagai perisa menarik termasuklah coklat, avocado, Thai Tea, laici dan lain-lain.
Selaras dengan pembukaan di Filipina, Chunk & Dunk bakal melakukan majlis menandatangani perjanjian rasmi secara umum di The Oval, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 22 Mac 2026 bermula jam 12 tengah hari.
Acara berkenaan bakal dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular seperti Stacy dan suaminya, Akim; Yazmin Aziz, Elica Paujin, Dabra Sia dan dihoskan oleh Daphne Iking.
Bagi pelancong dari Semenanjung Malaysia yang pernah berkunjung ke mana-mana cawangan Chunk & Dunk, mereka pasti mengharapkan pembukaan cawangan pertama di ibu negara bakal terjadi tidak lama lagi.
Akan tetapi, peerancangan tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan ketiadaan pusat pemprosesan utama di sini selain fokus syarikat untuk menstabilkan operasi perniagaan di Sabah terlebih dahulu.
Bagaimanapun, langkah Chunk & Dunk Sabah menembusi Filipina dilihat sebagai strategi penting untuk memperkenalkan jenama tersebut kepada pasaran yang lebih luas di rantau Asia Tenggara.
FOTO: Chunk & Dunk dan Adam Shamil