
Bintang muzik R&B terkenal, Chris Brown baru-baru ini meraih perhatian selepas berjaya menerima penghormatan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) kehormat dalam bidang Seni Visual & Persembahan daripada Harvest Christian University di Dallas, Texas.
Menerusi perkongsian Brown atau nama penuhnya Christopher Maurice Brown di Instagram, penyanyi berusia 37 tahun itu memuat naik beberapa foto dirinya lengkap mengenakan jubah graduasi sambil memegang sijil ijazah kehormat yang diterimanya.
Apa yang mencuri perhatian ramai pastinya kapsyen ringkas yang ditulis Brown iaitu “Saya telah melakukan sesuatu”, namun cukup untuk menggambarkan rasa bangga dan syukur terhadap pencapaian terbarunya itu.
Difahamkan, pengiktirafan tersebut diberikan bagi menghargai sumbangan besar Chris Brown dalam industri hiburan global sepanjang lebih dua dekad, khususnya menerusi muzik, seni persembahan, tarian serta pengaruh visual yang dibawanya sejak awal kemunculan.
Untuk rekod, Chris Brown mula mencipta nama menerusi album debut berjudul Chris Brown pada tahun 2005 yang menampilkan lagu hit berjudul ‘Run It!’ sebelum terus menjadi antara figura penting dalam dunia muzik R&B dan pop antarabangsa.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, pelantun lagu ‘Under The Influence’ itu telah menghasilkan lebih 10 album studio, menjual lebih 140 juta rekod di seluruh dunia selain merangkul beberapa anugerah berprestij termasuk Grammy Awards.
Bukan hanya dikenali kerana vokal dan muziknya, Brown juga sering mendapat perhatian kerana kemampuannya menggabungkan elemen nyanyian, rap dan koreografi bertenaga tinggi sehingga menjadikan persembahannya sentiasa ikonik dalam kalangan peminat.
Menariknya, kejayaan tersebut hadir di tengah-tengah pelbagai cabaran yang dilaluinya kebelakangan ini termasuk pelancaran album baharu serta beberapa kontroversi peribadi. Namun, pengiktirafan akademik itu jelas membuktikan pengaruh dan impak Chris Brown dalam dunia hiburan masih cukup besar hingga hari ini.
Sumber: Instagram Chris Brown
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.