
Baru-baru ini, program Remaja On Road yang berlangsung di UiTM Puncak Alam sekali lagi menjadi platform REMAJA mendekati mahasiswa menerusi pengisian bermanfaat dan relevan dengan realiti generasi muda masa kini. Antara segmen yang mencuri tumpuan adalah sesi Remaja Youth Talk berjudul ‘Beyond The Plate: Mental Health, Work Culture & Career Path In Culinary’ bersama cef selebriti terkenal, Mohd Fikree Najib Aznan atau lebih dikenali sebagai Chef Fikree.
Dalam sesi perkongsian ini membuka perbincangan jujur mengenai dunia kulinari yang sering digambarkan sebagai sengit dan mempunyai tekanan tinggi, khususnya buat generasi muda yang berhasrat membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Chef Fikree tampil berkongsi pengalaman sebenar serta perspektif profesional hasil penglibatan beliau dalam industri ini.

Beliau juga mengulas tanggapan bahawa dapur merupakan persekitaran kerja yang toksik, Chef Fikree menjelaskan bahawa persepsi tersebut banyak dipengaruhi oleh paparan televisyen program masakan antarabangsa.
“Original dapur itu seperti yang kita dapat lihat dalam program masakan zaman sekarang. Nampak ada yang bergaduh dan kena marah, dan semua itu sebenarnya datang dari luar negara,” katanya.
Jelas Chef Fikree, dapur di Malaysia secara asasnya lebih berfokus kepada proses memasak dan menyajikan makanan kepada pelanggan, namun struktur kerja ala Barat diterapkan bagi memastikan kualiti terjaga.
“Sebab itu cara kerja sebegitu nampak sengit dan ada tekanan, tetapi tujuannya supaya dari awal sampai akhir semuanya tersusun dan pelanggan puas hati,” ujarnya tegas.

Pada masa yang sama, menyentuh soal persekitaran kerja toksik, Chef Fikree berpandangan isu tersebut bukan sekadar tentang dimarahi, sebaliknya melibatkan persaingan dan gaya kepimpinan.
“Kalau seorang bos asyik marah tanpa beri kemajuan pada diri kita, itu sangat toksik. Bos yang baik adalah mereka yang mahu naikkan kita ke arah yang lebih membina,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tanggapan salah generasi muda yang sering melihat persaingan sebagai sesuatu yang menakutkan, terutamanya dengan kehadiran pempengaruh dan pencipta kandungan makanan yang hadir daripada pelbagai latar belakang. Menurut Chef Fikree, mereka yang berada dalam industri kulinari perlu tampil ke hadapan dan berkongsi ilmu yang tepat serta bertanggungjawab.

Di samping itu, beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap trend peniruan resipi secara tidak beretika yang boleh memberi kesan negatif kepada penonton.
“Apa yang kita takutkan adalah apabila ia memberi kesan kepada mereka yang baru belajar memasak atau penonton luar negara, sehingga boleh menghilangkan keaslian cara masakan tradisi kita,” jelasnya.

Sebagai nasihat kepada generasi muda, Chef Fikree menekankan kepentingan menuntut ilmu serta membina ketahanan mental dalam bidang kulinari. Beliau menyarankan agar generasi muda sentiasa memperkukuh pengetahuan melalui pembacaan, memiliki hati yang kental, meletakkan minat dan semangat dalam kerjaya yang diceburi serta bertanggungjawab menyebarkan ilmu dan amalan yang betul sahaja.
Sementara itu, Chef Fikree diakhir bicara turut berkongsi tiga prinsip penting untuk kekal mampan dalam industri kulinari iaitu bersikap positif dan cekal, tidak terlalu terkesan dengan pandangan luar, serta sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sebagai persediaan jangka panjang dalam membina kerjaya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














