
Chazynash akhirnya tampil bersuara selepas namanya menjadi bualan hangat di media sosial apabila dia didakwa mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak selepas perceraian.
Dakwaan tersebut nyata mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mempersoalkan peranan sebenar beliau sebagai seorang bapa. Namun, Chazynash menegaskan bahawa tanggapan tersebut tidak benar dan jauh menyimpang daripada realiti sebenar.
Menurut Chazynash, sepanjang tempoh selepas perceraian, dia tidak pernah lari daripada tanggungjawab terhadap anak-anaknya. Malah, dia mendedahkan jumlah nafkah yang ditanggung setiap bulan mencecah RM8,200.
“Saya bukan tak bagi nafkah. Setiap bulan saya tanggung sekitar RM8.2K untuk keperluan anak-anak,” katanya ketika menjelaskan dakwaan yang berlegar.
Tambahnya lagi, jumlah tersebut merangkumi pelbagai keperluan termasuk tempat tinggal, kenderaan, perbelanjaan harian serta perkara berkaitan kebajikan anak-anak.
Chazynash turut menjelaskan bahawa dia menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk bekas isteri dan anak-anak, selain memastikan mereka mempunyai kenderaan untuk kegunaan harian.
Malah, beliau mendedahkan pernah menanggung kos pembaikan kereta yang rosak akibat kemalangan tanpa meminta sebarang bayaran atau gantian.
“Bekas isteri guna kereta eksiden dan rosak. Saya tukar bagi kereta lain dan saya sendiri tanggung kos cat dan baik pulih sebanyak RM12,000,” jelasnya.
Selain itu, sebuah lagi kenderaan turut dibaiki sepenuhnya dengan kos mencecah RM8,000, yang juga ditanggung olehnya tanpa sebarang syarat.
Menjawab dakwaan kononnya dia hidup mewah selepas perceraian, Chazynash menafikan perkara tersebut dan menegaskan dirinya kini menjalani kehidupan yang sederhana.
“Segala barang dan kemewahan di rumah lama saya tak ambil walau satu pun. Rumah sewa saya sekarang pun rumah biasa, internet pun tak ada,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat supaya bekas isteri dan anak-anak dapat terus tinggal dalam keadaan selesa tanpa sebarang gangguan.
Chazynash turut mengakui bahawa memang wujud perjanjian yang dipersetujui bersama antara dirinya dan bekas isteri selepas perceraian.
Katanya, perjanjian tersebut dibuat bagi mengelakkan salah faham serta memastikan segala urusan berkaitan kebajikan anak-anak dapat diuruskan dengan teratur tanpa campur tangan pihak luar.
Menurut Chazynash, kenyataan yang dibuat ini merupakan kali pertama dan terakhir dia tampil menjawab dakwaan yang berlegar di media sosial.
Katanya, tuduhan melampau yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan reputasinya, malah memberi kesan emosi kepada dirinya dan keluarga.
Beliau berharap selepas ini tiada lagi spekulasi tidak berasas dan meminta orang ramai menghormati privasi semua pihak, khususnya anak-anak yang tidak sepatutnya terheret dalam konflik orang dewasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.