
Terbaru, kontroversi melibatkan bintang terkenal, Cha Eun Woo atau pemilik nama sebenar Lee Dong Min terus mencuri tumpuan selepas pihak berkuasa tempatan mendedahkan penemuan berkaitan sebuah syarikat liabiliti terhad yang dikaitkan dengan namanya. Syarikat tersebut sebelum ini didaftarkan menggunakan alamat sebuah restoran belut di Ganghwa yang diusahakan oleh ibunya.
Memetik laporan AllKpop, pada 26 Januari lalu, pegawai Daerah Ganghwa telah menjalankan pemeriksaan tapak ke atas syarikat berkenaan yang didaftarkan sebagai perniagaan perancangan budaya dan seni awam. Menurut pihak berkuasa, hasil pemeriksaan mendapati tiada pejabat, perabot atau kemudahan asas yang lazimnya diperlukan untuk menjalankan operasi perniagaan di lokasi tersebut.
Difahamkan, restoran belut yang tersenarai sebagai alamat syarikat itu dibuka pada tahun 2020 atas nama ibu Cha Eun Woo dan beroperasi selama kira-kira lima tahun. Namun, selepas penyanyi berusia 29 tahun itu menyertai perkhidmatan ketenteraan pada Julai tahun lalu, restoran tersebut menjalani pengubahsuaian dan kini tidak lagi beroperasi, dengan kerja-kerja ubahsuai dilaporkan turut dihentikan buat sementara waktu.
BACA: Cha Eun Woo Mohon Maaf Kepada Peminat & Perjelas Isu Cukai Serta Wajib Tentera
Lebih menarik lagi, pada hari yang sama pemeriksaan tapak dijalankan, syarikat tersebut telah memfailkan permohonan untuk menukar alamat pendaftaran ke Daerah Gangnam. Wakil Pejabat Daerah Ganghwa mengesahkan bahawa proses pertukaran alamat itu telah diselesaikan pada hari yang sama, sekaligus menamatkan pendaftaran syarikat berkenaan di Ganghwa.
Pada masa yang sama, timbul juga laporan berkaitan siasatan cukai ke atas Eun Woo di mana sebelum ini disiasat oleh Biro Siasatan 4, Pejabat Cukai Wilayah Seoul atas dakwaan pengelakan cukai, dengan Perkhidmatan Cukai Negara dilaporkan mengenakan taksiran cukai tambahan melebihi 20 bilion Korea Won (kira-kira RM54,791,860).
Mengulas isu tersebut, agensinya Fantagio dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa perkara utama yang sedang diteliti adalah sama ada syarikat yang ditubuhkan oleh ibu Cha Eun Woo boleh diklasifikasikan sebagai entiti percukaian substantif.
“Ini bukanlah perkara yang telah dimuktamadkan atau dimaklumkan secara rasmi, dan kami akan memperjelaskan isu berkaitan tafsiran serta penerapan undang-undang melalui proses yang sewajarnya,” jelas kenyataan tersebut.
BACA: Tinggalkan Hadiah Istimewa Buat Peminat, Cha Eun Woo Bakal Lancar Album Solo Sebelum Masuk Tentera
Terdahulu, Cha Eun Woo tampil memohon maaf secara terbuka pada 26 Januari menerusi akaun media sosial rasminya susulan kontroversi melibatkan namanya dan menyatakan rasa kesal atas situasi yang berlaku dan mengakui kesilapan yang telah mencetuskan kebimbangan serta kekecewaan dalam kalangan orang ramai.
Susulan kontroversi ini, beberapa jenama juga dilaporkan mula mengehadkan pendedahan iklan melibatkan Cha Eun Woo. Antara yang terkesan termasuk jenama penjagaan kulit Abib, jenama fesyen Marithé François Girbaud serta jenama pendidikan Daesung MIMAC yang dilaporkan menukar atau memadam kandungan promosi melibatkan artis tersebut di platform media sosial mereka, walaupun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak jenama terlibat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.