
Upacara pembukaan Sukan SEA edisi ke-33 di Thailand, malam tadi menampakkan kontinjen Malaysia yang diwakili oleh 59 orang atlet kebangsaan memperagakan busana batik kasual sebagai uniform rasmi mereka sewaktu melangkah masuk ke Stadium Nasional Rajamangala.
Batik kontemporari serba biru-putih itu merupakan satu kelainan yang dipertaruhkan oleh kontinjen negara yang kebiasaannya hadir dalam persalinan baju kebangsaan seperti Baju Melayu, Baju Kurung dan Baju Kebarung.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh jaguh lompat kijang, Andre Anura Anuar serta atlet ski air, Aaliyah Yoong Hanifah selaku pembawa Jalur Gmilang. Turut sama berarak adalah atlet-atlet daripada sukan olahraga, ski air, luncur ais dan hoki ais.
Percikan Warna-Warna Jalur Gemilang
Menurut kenyataan yang dikongsikan mengenai motif busana kali ini, warna asas putih pada keseluruhan baju batik tersebut adalah lambang disiplin, fokus dan niat mereka yang ingin mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Warna biru dalam bentuk corak organik pada bahagian bawah dan sisi baju pula menggambarkan ‘aliran tenaga; keteguhan mental dan fizikal serta dinamism yang dimiliki oleh pejuang negara untuk mencapai kecemerlangan.
Coraknya pula diinspirasikan daripada elemen alam seperti ombak, arus air dan alur kayu; sekaligus menjadi simbol kekuatan yang sebati dalam diri setiap wakil negara.

Simbol Kepada Semangat Juang Kontinjen
Walaupun tidak begitu ketara, wujud juga elemen berwarna kuning dan merah pada busana tersebut sebagai pelengkap kepada pemilihan empat warna utama dalam Jalur Gemilang.
Warna kuning menjadi ‘borderline’ yang mengikat motif biru sebagai simbol cahaya harapan semua rakyat. Manakala suntikan warna merah pada perincian kecil pada busana merupakan lambang semangat juang dan keberanian atlet kali ini yang menyasarkan untuk membawa pulang 200 pingat tanpa mengira warna.

Rekaan Moden Lagi Progresif, Lambang Atlet Malaysia Di Era Moden
Menerusi kreativiti dan makna mendalam yang terdapat pada busana kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan SEA edisi ke-33 kali ini, tentunya ia bukan sekadar uniform biasa. Sebaliknya, ia merupakan rekaan progresif yang membawa erti Malaysia dan disarungkan dengan penuh bangga oleh setiap atlet dan pegawai yang mewakili negara di sana.
Sebagai info, Malaysia bakal beraksi dalam 50 jenis sukan membabitkan 459 acara dan 1,140 orang atlet.
FOTO: Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






























