
Seorang pelajar membuktikan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil apabila berjaya mencipta rekod tersendiri dalam tempoh masa yang cukup singkat.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Reka Bentuk & Teknologi daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Isyraf Firdaus Hassim, baru-baru ini menerima pengiktirafan anugerah daripada Youth Achievement Record anjuran Gen Youth Malaysia.
Lebih membanggakan, Isyraf berjaya mencatat rekod memperoleh 130 sijil kursus atas talian terbanyak dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menjadikannya antara pelajar UPSI dengan pencapaian tertinggi pada April 2025.
Untuk melayakkan diri menerima anugerah berprestij ini, pelbagai kriteria perlu dipenuhi termasuk mempunyai rekod dalam Malaysia Book of Records selain syarat-syarat lain yang telah ditetapkan pihak penganjur.
Menurut Isyraf, kejayaan tersebut bukan hadir secara kebetulan. Sebaliknya, ia menuntut semangat yang tinggi, disiplin yang konsisten serta fokus yang jelas terhadap matlamat.
“Apabila semangat disertai doa, sudah pasti segalanya dapat dicapai. Ibu bapa merupakan pendorong utama saya dalam mencapai kejayaan ini.
“Setiap perkara dilakukan dengan niat ingin mengharumkan nama mereka. Melihat kedua-dua ibu bapa gembira merupakan tekad dan niat utama saya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, doa ibu bapa tiada hijab dan sentiasa menjadi sumber kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam pelajaran, kerjaya serta kehidupan seharian.
Sepanjang perjalanan hidup, Isyraf tidak terlepas daripada melalui fasa kegagalan dan kejatuhan. Namun, setiap pengalaman tersebut dijadikan pengajaran berharga yang mematangkan cara pemikiran dan tindakannya.
“Kegagalan sekali bukanlah bermakna kita akan gagal selamanya, sebaliknya ia adalah satu proses pembelajaran menuju kejayaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Isyraf turut menekankan bahawa sikap dan disiplin mampu mengatasi bakat semula jadi. Beliau berkongsi inspirasi daripada idola sukan dunia, Cristiano Ronaldo, yang pernah berkata bahawa “Talent without work is nothing” iaitu bakat tanpa usaha tidak membawa sebarang makna.
Kata-kata tersebut menjadi pegangan buatnya untuk terus berusaha tanpa jemu, berdisiplin dalam setiap tindakan serta kekal bertekad mengejar impian dan cita-cita hidup.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Myberita