
Tekad untuk mengubah nasib keluarga keluar daripada kepompong kesusahan menjadi pemangkin semangat buat pelari muda negara, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, selepas berjaya meraih pingat gangsa acara 110 meter lari berpagar di Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.
Atlet berusia 20 tahun itu percaya hanya kejayaan di pentas sukan mampu memberikan kehidupan yang lebih selesa buat dirinya dan ibu tercinta, Hanariah Omar, 64, yang kini menetap di Dungun, Terengganu.

Detik paling menyentuh hati berlaku sebaik sahaja Armin menamatkan perlumbaan final dengan catatan 13.85 saat, apabila dia tidak dapat menahan sebak sambil mengangkat sekeping kertas bertulis ‘I LOVE IBU’ di hadapan kamera, mendedikasikan kejayaan sulungnya di temasya dwitahunan itu buat insan paling berjasa dalam hidupnya.
Armin mendedahkan dia kehilangan ayah sejak kecil dan terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, sambil membantu ibunya dengan bekerja sambilan di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Saya anak tunggal dan menanggung keluarga selepas ketiadaan ayah, jadi sayalah ketua keluarga yang kena tanggung semuanya betul-betul. Saya mahu mengubah kehidupan kami.

“Selama ini jika tiada latihan pagi, saya bekerja sambilan syif malam di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sampai pukul 8 pagi. Pendapatan saya sekitar RM1,000 hingga RM1,300 itulah saya guna untuk sara ibu,” katanya dalam nada sebak.
Buat Armin, kekangan kewangan bukan alasan untuk mengalah. Atlet muda ini mengakui dia perlu berjimat cermat dalam kehidupan seharian dan lebih banyak menghabiskan masa makan bersama ibunya di rumah.
Dalam masa sama, Armin turut menyimpan impian untuk menjadi atlet sepenuh masa bagi meningkatkan prestasinya ke tahap tertinggi, khususnya menjelang Sukan SEA 2027. Namun, dia mempunyai satu pendirian yang tidak pernah berubah iaitu kekal di Terengganu demi menjaga ibunya yang tinggal bersendirian.

“Jadi atlet sepenuh masa boleh bantu saya lari lebih laju untuk Sukan SEA 2027. Tapi saya tak boleh berlatih di Kuala Lumpur, saya kena kekal di Dungun sebab nak jaga ibu yang duduk seorang.
“Alhamdulilah pingat gangsa ini rezeki Allah bagi dan saya harap permulaan untuk masa depan saya. Ibu pesan hari ini, buat yang terbaik untuk keluarga. Saya berjaya lakukannya,” ujarnya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 110 meter lari berpagar adalah pada Sukan SEA Manila 2019 menerusi Rayzam Shah Wan Sofian yang muncul pemenang tempat kedua.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










