
Penyanyi dan personaliti media sosial, Azeva tampil menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia melakukan pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk hidung yang lebih mancung.
Menurut laporan media tempatan, Azeva menjelaskan hidung mancung yang dimilikinya adalah asli dan diwarisi daripada ibunya, pengarah serta penerbit terkenal, Datuk A. Aida.
Kata Azeva, isu mengenai bentuk hidungnya bukanlah perkara baharu kerana dia sering menerima pertanyaan daripada netizen yang tertanya-tanya sama ada dia menjalani prosedur kosmetik.
“Orang selalu tanya kenapa sering gosok hidung sehingga ada yang persoalkan sama ada saya buat hidung atau tidak.
“Cuba tengok hidung saya ini, macam burung belatuk (paruh). Kalau saya buat, pastinya nak hidung seperti anak patung Barbie,” katanya.
Dalam masa sama, Azeva menegaskan bentuk hidungnya itu merupakan warisan daripada ibunya dan bukan hasil sebarang pembedahan plastik.
“Apa pun, hidung mancung ini adalah dari keturunan mama saya.
“Tengoklah mama saya, cantik macam mana pula. Saya memang tidak melakukan sebarang pembedahan buat hidung, janji,” katanya lagi.
Selain berkongsi mengenai isu tersebut, Azeva turut mengulas mengenai pemilihannya sebagai pengacara program Big Stage Rocketfuel bersama Nabil Ahmad.
Menurutnya, dia berasa teruja menerima peluang itu biarpun mengakui sedikit gementar kerana perlu mengendalikan program siaran langsung buat pertama kali.
“Kalau cakap takut, pasti ada perasaan itu sebab ini kali pertama saya mengacara untuk program siaran langsung.
“Ketika terpilih jadi pengacara Big Stage pun agak terkejut sebab waktu itu masih bertanding Talk To My Manager 2.
“Apapun, saya sahut tawaran tersebut dan anggap ini satu cabaran baru. Ingatkan hanya menyanyi tetapi tak sangka pula orang akan panggil saya untuk jadi pengacara,” jelasnya.
Terdahulu, Azeva diumumkan sebagai hos bersama Nabil Ahmad bagi mengendalikan
Big Stage Rocketfuel.Pemilihannya turut menerima respons positif daripada ramai pihak yang melihat peluang tersebut sebagai ruang untuk mengetengahkan bakat pengacara generasi baharu, selari dengan konsep program yang memberi platform kepada bakat-bakat baharu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.