
Bintang K-Pop sensasi, BTS baru-baru ini sekali lagi membuktikan pengaruh positif mereka apabila menjadi artis Korea pertama menerima ‘Presidential Citation’ pada Korea Good Donation Awards ke-5 yang berlangsung pada 8 Disember lalu. Pengiktirafan berprestij ini telah dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Korea serta Majlis Sukarelawan dan Kebajikan Korea.
Difahamkan, anugerah tahunan tersebut diwujudkan bagi menghargai individu dan organisasi yang memberi impak melalui budaya berkongsi, amal dan usaha memupuk nilai kemanusiaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021. Bagi tahun 2025, BTS dipilih atas sumbangan mereka dalam menyebarkan mesej kasih sayang, kesedaran sosial serta usaha kebajikan berterusan di peringkat global.
Dalam ucapan rasmi yang dikongsikan, BTS meluahkan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut sambil menekankan bahawa kejayaan itu tidak hanya milik mereka.
“Kami rasa sangat berbesar hati apabila mengetahui kempen ‘LOVE MYSELF’ telah membawa impak positif kepada masyarakat. Kami khususnya ingin menghadiahkan penghargaan ini kepada ARMY yang telah bersama kami membina kempen ini,” kata BTS.
BACA: J-Hope BTS Sumbang 200 Juta Won Untuk Pembinaan Pusat Pediatrik Sempena Ulang Tahun Kelahirannya
BACA: RM BTS Sumbang 200 Juta Won Kepada 2 Hospital Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-31
Terdahulu, kempen LOVE MYSELF yang dilancarkan pada tahun 2017 bersama UNICEF Korea menjadi platform utama BTS dalam memperjuangkan isu kesihatan mental dan pencegahan keganasan terhadap kanak-kanak serta remaja. Inisiatif itu juga berjaya menjangkau lebih 155 negara selain menyediakan program kesihatan mental kepada lebih 100 juta individu di seluruh dunia.
Selain itu, melalui kerjasama kukuh dengan label mereka, BIGHIT MUSIC, BTS turut mencatat rekod sebagai rakan swasta terbesar UNICEF dalam perlindungan kanak-kanak. Bersama peminat, mereka berjaya mengumpulkan anggaran 9.2 bilion Korea Won, jumlah yang mewakili kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan dana perlindungan kanak-kanak UNICEF.
Pada masa yang sama, usaha amal BTS tidak terhenti di situ sahaja. Mereka terus diiktiraf secara konsisten di dalam dan luar Korea atas peranan aktif dalam memacu perubahan sosial melalui sumbangan, projek advokasi dan penglibatan bermakna dalam isu-isu kemanusiaan.
Menerusi pengiktirafan terbaru ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan BTS sebagai ikon muzik global, tetapi juga sebagai simbol pengaruh positif yang memberi inspirasi kepada generasi muda. Ia sekali lagi membuktikan bahawa pengaruh selebriti mampu membawa perubahan besar apabila digunakan untuk kebaikan.
BACA: SUGA BTS Sentuh Hati Masyarakat, Sumbang 5 Bilion Won Bina Pusat Rawatan Autisme Di Seoul
Untuk perkembangan terkini, BTS kini giat membuat persiapan untuk jelajah dunia berskala besar bersempena pelancaran album baharu mereka pada musim bunga akan datang. Peminat di seluruh dunia tentunya tidak sabar menantikan momen pertemuan semula bersama kumpulan fenomena ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.