
Bintang pop sensasi, BTS baru-baru ini mencuri perhatian apabila mereka dikhabarkan merakamkan sebuah lagu yang belum pernah diterbitkan milik Michael Jackson untuk album tribute istimewa legenda pop dunia itu.
Pada 3 Ogos lalu, sumber industri hiburan melaporkan bahawa BTS sudah pun merakamkan salah satu lagu yang ditulis Michael Jackson tetapi tidak pernah dikeluarkan. Dalam pada itu, menurut laporan The Irish Sun, Jackson menulis beberapa lagu pada musim panas tahun 2006 ketika tinggal di sebuah bangsal lembu yang telah diubahsuai di Ireland bersama keluarganya.
Ketika itu, beberapa rakan kolaborasi terkemuka turut terbang ke Ireland untuk bekerjasama dalam projek album tersebut, namun ia tidak sempat disiapkan selepas Jackson meninggalkan negara itu. Tiga tahun kemudian, dunia dikejutkan dengan pemergian tragis Raja Pop itu di Los Angeles.
Menurut Paddy Dunning, salah seorang pengurus Grouse Lodge Studio di Ireland, tempat Michael Jackson pernah menetap, mendedahkan bahawa sesi rakaman baharu bagi album tribute tersebut sudah pun bermula pada tahun lalu. Beliau juga mengesahkan bahawa BTS telah merakamkan salah satu lagu yang pada asalnya ditulis untuk Jackson.
“Sesi rakaman bermula tahun lalu dan kami sudah menerima kedatangan boy band Korea, BTS di Grouse Lodge untuk merakamkan salah satu lagu tersebut,” kata Paddy kepada The Irish Sun.
Menurut laman web peminat MJVibe, album tribute berkenaan dijangka akan memuatkan sekitar sepuluh lagu tambahan yang belum pernah diterbitkan. Sebuah dokumentari khas mengenai tempoh Michael Jackson menetap di Ireland juga sedang dalam perancangan.
Khabar ini telah mencetus keterujaan dalam kalangan pengkritik muzik kerana BTS sememangnya dikenali sebagai salah satu pemuzik yang sering memberikan penghormatan kepada Michael Jackson serta mengakui pengaruh besar beliau dalam karya mereka sepanjang menjadi anak seni.
Pada masa yang sama, ini membuatkan peminat kedua bintang berkenaan tidak sabar menantikan kerjasama epik antara ikon muzik dari dua generasi berbeza yang dijangka bakal mencipta fenomena global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.