Hiburan

BTS Diiktiraf Sebagai “ICONS” Guinness World Records, Satu-Satunya Artis Asia Dalam Senarai

Share

Baru-baru ini, BTS kembali mencuri perhatian dengan prestasi membanggakan apabila Guinness World Records secara rasmi menamakan mereka sebagai salah satu figura dalam senarai “ICONS”. Pengiktirafan ini difahamkan diberi kepada individu dan tokoh dunia yang berjaya memberi impak besar melalui pencapaian luar biasa dalam bidang masing-masing.

Lebih membanggakan, BTS yang dianggotai oleh RM, Jin, SUGA, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook itu menjadi satu-satunya kumpulan muzik serta artis dari Asia yang tersenarai bersama beberapa nama besar dunia hiburan seperti Taylor Swift, Drake, Beyoncé, Elton John, Paul McCartney dan juga MrBeast.

Menerusi sebuah kenyataan rasmi, Guinness World Records memuji pengaruh besar BTS dalam industri muzik global serta peranan kumpulan itu dalam mengubah landskap budaya pop moden melalui karya-karya mereka.

Kredit foto: Rollingstone
Kredit foto: Guinness World Records

“Muzik mereka mungkin selembut Butter, tetapi rekod yang mereka pecahkan sememangnya luar biasa! Jika anda masih belum mengenali BTS, mungkin anda sedang hidup di bawah tempurung,” katanya.

Untuk info, sepanjang perjalanan karier mereka, BTS berjaya mencatat pelbagai rekod mengagumkan termasuk menjadi kumpulan dengan jumlah pengikut dan penstriman tertinggi di Spotify bagi kategori solo, duo atau kumpulan.

BACA: Jungkook BTS Tembusi Dunia Pendidikan, Jadi Penyanyi Korea Pertama Dalam Siri Buku Kanak-Kanak

Mereka juga mencipta sejarah sebagai artis K-Pop pertama yang berjaya menduduki tangga nombor satu carta album di Amerika Syarikat, sekaligus membuka lebih banyak ruang untuk muzik Korea di pentas antarabangsa.

Selain popular dengan lagu-lagu hit seperti ‘Mic Drop’, ‘Fake Love’, ‘DNA’, ‘Dynamite’, ‘Permission to Dance’, dan banyak lagi, BTS turut dikenali kerana mesej yang dibawa dalam muzik mereka yang sering menyentuh isu seperti kesihatan mental, kesunyian, tekanan hidup dan perjalanan menjadi dewasa.

Pengiktirafan daripada Guinness World Records ini sekali lagi membuktikan pengaruh besar BTS dalam industri hiburan global serta peranan mereka dalam membuka peluang lebih luas kepada artis Asia di peringkat dunia.

Sebelum ini, BTS sering menegaskan bahawa individu yang terus berusaha tanpa mudah berputus asa akhirnya akan mencapai kejayaan, dan semangat tersebut terus menjadi sumber inspirasi kepada jutaan peminat di seluruh dunia.

Dalam perkembangan terkini, kumpulan bintang popular itu sedang sibuk dengan konsert jelajah dunia ‘ARIRANG’. BTS juga bakal kembali menghangatkan pentas di Kuala Lumpur selama dua hari pada Disember ini.

Sumber: Guinness World Records

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE