Hiburan

BTS Cipta Rekod Lagi! Album ‘Arirang’ Raih Platinum Di Perancis

Share

Bintang K-Pop sensasi, BTS baru-baru ini mencuri perhatian para peminat di seluruh dunia apabila album terbaru mereka disahkan berjaya meraih pensijilan platinum di Perancis, sekaligus mengukuhkan lagi pengaruh global kumpulan berkenaan dalam industri muzik antarabangsa.

Memetik laporan media antarabangsa, album studio kelima BTS yang berjudul ‘Arirang’ menerima pengiktirafan tersebut selepas mencapai jualan sebanyak 100,000 unit, merangkumi salinan fizikal, muat turun digital serta di penstriman.

Pengumuman itu dikongsikan menerusi sebuah kenyataan oleh agensi pengurusan mereka, BigHit Music, yang memaklumkan bahawa pensijilan berkenaan diberikan oleh badan industri muzik Perancis iaitu Syndicat National de l’Édition Phonographique (SNEP), menjadikannya satu lagi pencapaian besar buat kumpulan yang dianggotai oleh RM, Jin, SUGA, J-hope, Jimin, V dan Jungkook itu.

Menariknya, kejayaan ini hadir hanya dalam tempoh sebulan selepas album yang sama terlebih dahulu meraih status emas di negara berkenaan, tidak lama selepas ia dilancarkan pada 20 Mac lalu.

Menerusi pencapaian terbaru ini, BTS yang popular menerusi lagu hit seperti ‘Mic Drop’, ‘DNA’, ‘Fake Love’, ‘Dynamite’ dan ‘Permission to Dance’ kini secara keseluruhan memiliki empat album yang berjaya memperoleh pensijilan platinum di Perancis, menjadikan mereka antara artis Asia paling berpengaruh di pasaran muzik Eropah.

Sementara itu, di Jepun pula, album ‘Arirang’ terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya mencapai pensijilan ‘triple platinum’ hasil jualan melebihi 750,000 unit setakat Mac.

BACA: Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung Puji Konsert ‘Comeback’ BTS, Akui Beri Impak Besar Dalam Promosi Negara

Pada masa yang sama, Arirang turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi album pertama daripada artis K-Pop yang berjaya menduduki tangga teratas carta Billboard 200 selama tiga minggu berturut-turut.

Dengan lagu utama berjudul ‘Swim’, album yang mengandungi 14 buah lagu ini juga menandakan kemunculan semula BTS selepas empat tahun berehat susulan kesemua ahlinya menjalani khidmat ketenteraan. Kumpulan ini juga bakal menghangatkan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi konsert jelajah ‘Arirang’ pada Disember ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE