
Selepas lima tahun melalui perjalanan yang penuh cabaran, pelakon Bront Palarae akhirnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Pada usia 48 tahun, pencapaian tersebut pastinya menjadi antara detik paling bermakna buat Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, apatah lagi perjalanan untuk bergelar graduan bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut Bront, dia tidak mengikuti laluan akademik konvensional untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sebaliknya, dia perlu melalui proses yang panjang sebelum berjaya diterima masuk menerusi laluan APEL A.
“Lima tahun saya habiskan hanya untuk membuka pintu. Saya tidak melalui laluan akademik konvensional. Banyak pintu diketuk, banyak perkara perlu difahami dan akhirnya saya berjaya mencari jalan masuk menerusi APEL A.
“Kemudian bermulalah 16 bulan penuh tugasan, tarikh akhir, kerja berkumpulan, berjaga malam, persahabatan baharu serta tiga minggu amat mencabar di Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Boston. Akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya dalam Instagram.
Biarpun perjalanan tersebut mengambil masa yang panjang, Bront mengakui pengalaman sepanjang 16 bulan mengikuti pengajian MBA merupakan antara fasa yang cukup mencabar, namun pada masa sama amat bermakna.
Bukan sekadar tugasan dan kerja berkumpulan, pengalaman akademik Bront turut membawanya ke Boston apabila berpeluang menjalani program selama tiga minggu di Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Dalam perkongsian sama, Bront turut menzahirkan penghargaan kepada rakan sekelas yang banyak membantu sepanjang tempoh pengajian.
“16 bulan terakhir ini sangat mencabar, merendahkan ego, memenatkan tetapi pada masa sama amat berbaloi.
“Kepada rakan sekelas, terima kasih atas segala kebaikan, kemurahan hati dan kesediaan untuk sentiasa membantu. Saya belajar daripada kalian sama banyak seperti di dalam bilik kuliah,” katanya.
Bront turut berkongsi rasa bangga terhadap kumpulan Pani Puree selepas pasukan tersebut dinobatkan sebagai Pasukan Pembelajaran Tindakan Terbaik menerusi projek praktikum bersama SRK India.
“Kepada Team Pani Puree, Pasukan Pembelajaran Tindakan Terbaik untuk praktikum bersama SRK India, ucapan ‘saya bangga’ masih belum cukup untuk menggambarkan perasaan itu. Sungguh cara terbaik untuk kita menamatkan perjalanan ini bersama,” ujarnya.
Dalam meraikan kejayaan tersebut, Bront tidak melupakan individu yang banyak membantunya sepanjang perjalanan akademik berkenaan.
Pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Trust Gu Thai Film Awards 2024 itu merakamkan penghargaan buat pengurus akademik dan barisan profesor yang sentiasa memberikan bimbingan serta mencabar cara pemikirannya.
“Kepada pengurus akademik, terima kasih kerana sentiasa berada di sisi setiap kali saya memerlukan panduan atau bantuan.
“Kepada semua profesor, terima kasih kerana mencabar cara saya berfikir serta segala ilmu diberikan, sama ada di dalam mahupun di luar bilik kuliah,” kongsinya.
Namun, paling utama buat Bront ialah penghargaan buat keluarganya yang sentiasa memberikan ruang, kesabaran dan sokongan sepanjang dia mengejar impian tersebut.
“Paling utama, buat keluarga saya, terima kasih atas kesabaran, pengertian serta ruang dan sokongan diberikan untuk saya melakukan semua ini, walaupun bermakna masa bersama kalian menjadi semakin terhad.
“Saya benar-benar tidak mampu melakukannya tanpa kalian semua. Lima tahun untuk masuk. 16 bulan untuk mengharunginya. Semuanya berbaloi. Semalam, saya akhirnya dapat mengatakan saya sudah berjaya.
“MBA selesai, Program Imersi MIT selesai dan Anugerah Projek Pembelajaran Tindakan Terbaik juga selesai. Alhamdulillah,” luahnya.
Perkongsian Bront itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian yang cukup menginspirasikan.
Ramai turut kagum melihat bagaimana Bront berjaya membahagikan masa antara kerjaya seni, keluarga dan tuntutan akademik sepanjang tempoh lima tahun tersebut.
Lebih daripada sekadar sebuah ijazah, perjalanan Bront membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk seseorang kembali menuntut ilmu, mencabar diri dan mengejar impian yang masih belum tercapai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.