
Bola keranjang 3×3 Malaysia terus mencipta detik membanggakan apabila skuad lelaki negara berjaya melakar sejarah dengan mara ke peringkat suku akhir Sukan Komanwel Glasgow 2026 buat kali pertama dalam penampilan sulung mereka.
Pencapaian bersejarah ini membuktikan perkembangan positif sukan bola keranjang 3×3 di Malaysia, selain memperlihatkan kemampuan skuad negara untuk bersaing dengan pasukan terbaik Komanwel.
Skuad negara yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu mengesahkan slot ke suku akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow, Malaysia menewaskan Jamaica 21-15 sekali gus mengumpul mata yang mencukupi untuk mara ke pusingan kalah mati.
Sebelum bertemu Jamaica, skuad negara terlebih dahulu mencuri perhatian apabila membuka kempen dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Fiji, Kenya dan Singapura.
Rentetan kemenangan tersebut meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke suku akhir sebelum berdepan cabaran getir menentang juara bertahan, England.
Walaupun tewas tipis 19-21 kepada England pada aksi sebelah pagi, semangat pemain negara tidak luntur. Mereka bangkit beberapa jam kemudian dengan aksi lebih bertenaga untuk menewaskan Jamaica dan mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Cabaran seterusnya buat bola keranjang 3×3 Malaysia pastinya lebih sukar apabila dijadualkan bertemu tuan rumah Scotland pada aksi suku akhir.
Jika berjaya melepasi halangan itu, skuad negara bakal membuat perhitungan dengan kuasa besar bola keranjang 3×3, Australia, di pentas separuh akhir.
Sementara itu, satu lagi aksi suku akhir menyaksikan New Zealand bertemu Singapura, dengan pemenangnya bakal menentang juara bertahan England.
Untuk rekod, acara bola keranjang 3×3 mula dipertandingkan di Sukan Komanwel pada edisi Birmingham 2022.
Glasgow 2026 pula menjadi pentas pertama Malaysia menghantar wakil dalam kategori lelaki. Penampilan sulung itu terus menghadirkan impak besar apabila skuad negara berjaya melangkah ke suku akhir, sekali gus mencatat sejarah baharu buat sukan tersebut.
Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pemain, malah menjadi petanda bahawa pembangunan bola keranjang 3×3 di Malaysia semakin berada di landasan yang tepat untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Kini, harapan seluruh rakyat Malaysia mengiringi empat pemain negara untuk terus melakar kejutan. Sekiranya berjaya menewaskan Scotland, mereka bukan sahaja semakin hampir memburu pingat, malah berpeluang mencipta satu lagi sejarah baharu buat bola keranjang Malaysia di pentas Sukan Komanwel.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.