
Bintang K-Pop legenda, BIGBANG sekali lagi meraih perhatian peminat (VIP) di seluruh dunia apabila melancarkan akaun media sosial rasmi baharu bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.
Langkah tersebut hadir tidak lama selepas penampilan mereka yang mendapat sambutan hangat di festival muzik antarabangsa ‘Coachella 2026’, sekaligus menguatkan lagi spekulasi mengenai kebangkitan semula kumpulan ikonik itu di pentas global.
Seiring dengan momentum tersebut, BIGBANG turut mengumumkan perancangan untuk mengadakan jelajah dunia sempena ulang tahun ke-20 yang menandakan fasa baru dalam perjalanan seni selepas berehat daripada aktiviti berkumpulan.
Menariknya, pada 21 April lalu, kumpulan itu secara rasmi membuka akaun Instagram baru sebagai sebahagian daripada kempen ulang tahun mereka, dengan perkongsian pertama memaparkan bahagian belakang tiga anggotanya iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung, yang segera mencetuskan reaksi emosional dalam kalangan peminat.
Tidak lama kemudian, sebuah video khas dimuat naik bagi meraikan perjalanan dua dekad BIGBANG dalam industri hiburan, seolah mengimbau kembali legasi mereka menerusi lagu-lagu hit seperti ‘Haru Haru’, ‘Fantastic Baby’, ‘Bang Bang Bang’ dan ‘Loser’ yang pernah mendominasi carta muzik antarabangsa.
Di samping itu, lebih menarik perhatian, akaun rasmi berkenaan didapati mengikuti bekas anggota, T.O.P, sekaligus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan berlakunya ‘reunion’ penuh pada masa akan datang.
BACA: ‘Confirm’! YG Entertainment Umum BIGBANG Kembali Dengan Jelajah Dunia Sempena Ulang Tahun Ke-20
Untuk info, BIGBANG sebelum ini debut pada 19 Ogos 2006 dan sejak awal penubuhan kumpulan itu mereka dianggotai oleh lima orang ahli yang terdiri daripada G-Dragon, Taeyang, Daesung, T.O.P dan Seungri. Namun sejak Mei 2023, kumpulan itu secara rasmi bergerak sebagai trio.
Dengan perancangan jelajah dunia dan pelbagai projek ulang tahun ke-20 yang dijangka bakal diumumkan dalam masa terdekat, peminat kini menantikan langkah seterusnya daripada BIGBANG, termasuk kemungkinan besar untuk melihat mereka kembali bersatu di pentas yang sama suatu hari nanti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.