Hiburan

‘Confirm’! YG Entertainment Umum BIGBANG Kembali Dengan Jelajah Dunia Sempena Ulang Tahun Ke-20

Share

Bintang K-Pop lagenda, BIGBANG baru-baru ini mencuri perhatian peminat di seluruh dunia apabila mengumumkan bahawa mereka bakal mengadakan konsert jelajah dunia sempena ulang tahun ke-20 sekaligus menandakan kemunculan semula kumpulan berkenaan di pentas antarabangsa sebagai sebuah trio.

Menerusi sebuah pengumuman yang dikongsikan di YouTube, Pengasas dan Penerbit Eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun-suk memaklumkan bahawa pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan siri konsert dan jelajah global bagi meraikan detik istimewa tersebut selepas perbincangan bersama anggota BIGBANG.

“Saya rasa sebab orang ramai merindui BIGBANG dan menunggu konsert mereka adalah kerana mereka mahu melihat dan mendengar semula lagu-lagu hit yang pernah dipersembahkan secara langsung di atas pentas”

BACA: Bakal Gegarkan Coachella 2026 Sempena Ulang Tahun Ke-20, YG Entertainment Izinkan G-Dragon, Taeyang & Daesung Guna Nama BIGBANG

“Secara ringkasnya, sempena ulang tahun ke-20 BIGBANG tahun ini, kami telah bersetuju untuk mengadakan konsert dan melancarkan jelajah global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara BIGBANG dan YG Entertainment akan membantu memastikan segala persiapan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

“YG Entertainment dan BIGBANG telah bekerjasama rapat untuk tempoh yang panjang, jadi saya tidak menjangka sebarang kesukaran besar. Semua kakitangan YG akan melakukan yang terbaik untuk menghasilkan persembahan yang indah, lengkap dan cemerlang,” jelasnya lagi.

BACA: G-Dragon Jelaskan BIGBANG Cuma 3 Orang, Pelik Kenapa Artis Junior Tak Berani Datang Dekat

Difahamkan, untuk jelajah kali ini, BIGBANG akan tampil sebagai trio yang terdiri daripada G-Dragon, Taeyang dan Daesung. Kumpulan ini sebelum ini debut dengan lima ahli pada tahun 2006, namun kini meneruskan perjalanan sebagai tiga anggota.

Sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik, BIGBANG telah melahirkan pelbagai lagu popular yang menjadi fenomena seperti Lies, Haru Haru, Last Farewell, Fantastic Baby, Monster dan Bang Bang Bang, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara ikon terbesar K-Pop era 2010-an.

Dalam perkembangan lain, BIGBANG juga dijadualkan bakal menghangatkan pentas Coachella Valley Music and Arts Festival pada 12 dan 19 April ini. Pentas berprestij itu dijangka menjadi pemanas badan sebelum kumpulan tersebut memulakan siri jelajah dunia mereka secara rasmi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE