
Pentas Big Stage Rocketfuel minggu kedua baru-baru ini menyaksikan Sufie Rose sebagai peserta pertama yang tersingkir selepas memperoleh markah tercorot 57.33% dan berada di kedudukan paling bawah selepas membawakan lagu ‘Panas’ nyanyian asal De Fam dalam konsert yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.
Menurut juri, Akim Ahmad mengakui bahawa Sufie menunjukkan peningkatan berbanding persembahan minggu pertama, namun menganggap masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki untuk bersaing dengan peserta lain.
“Sufie Rose ini memang ada improvement, lagu yang dia dapat pada minggu ini dapat tunjukkan kelebihan dia. Cuma dalam pertandingan ini, biasalah ada kalah dan menang”
“Jadi dalam banyak-banyak peserta, mungkin Sufie ada kelemahan sedikit. Saya harap lepas ini, Sufie Rose dapat kenal pasti dan belajar lebih lagi untuk persembahan dan nyanyian beliau,” katanya ketika ditemui pihak media selepas persembahan minggu kedua, pada Ahad.
Mengulas penyingkirannya, Sufie mengakui beliau sebenarnya berharap diberikan peluang untuk meneruskan perjuangan selepas menerima maklum balas positif daripada barisan juri terhadap persembahannya pada minggu ini.
“Saya sedar mungkin kurangnya confident sebentar tadi di atas pentas. Itu juga mungkin boleh menjadi salah satu sebab kenapa saya berada di 3 tercorot dan tersingkir,” jelasnya reda.
Sementara itu, Hussain sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila muncul peserta terbaik minggu kedua dengan markah keseluruhan sebanyak 72% menerusi persembahan lagu ‘Hutang’ nyanyian asal Floor 88. Kejayaan tersebut sekaligus melayakkan beliau menerima gelaran Rocket Star of The Week.
Ranisha pula berada di kedudukan kedua dengan markah 71.6%, manakala duo Adam & Nazmie melengkapkan kelompok tiga terbaik selepas meraih 70%. Dua lagi peserta yang turut berada dalam kelompok tiga tercorot ialah Aliff Kimiey dan Danial Kifli.
Dengan penyingkiran Sufie, seramai 10 peserta akan meneruskan cabaran ke minggu ketiga iaitu Hussain, Sabrina, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli serta satu-satunya peserta berkumpulan, Adam & Nazmie. Kesemua mereka masih berpeluang merebut kontrak pembangunan artis Rocketfuel bernilai sehingga RM200,000.
BACA: Big Stage Rocketfuel Kembali, Pentas Lahirkan Bintang Baharu & Terus Perkukuh Legasi Alumni
Program Big Stage Rocketfuel dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva serta bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria. Persaingan dijangka semakin sengit apabila setiap peserta bakal tampil dengan cabaran baharu dalam usaha membuktikan kemampuan mereka untuk melangkah ke pentas akhir.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.