Betul Ke Cucuk Vitamin C Boleh Putihkan Kulit?

Share

Satu lagi cara untuk memutihkan kulit yang semakin popular dilakukan oleh orang ramai adalah dengan penggunaan intravenous vitamin C infusion.

Lebih mudah lagi kalau kami sebut ‘cucuk vitamin C ‘, pasti ramai yang tahu. Disebabkan obses nak kulit putih, ramai menggunakan cara yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Rawatan intravenous vitamin C infusion ini adalah cara memberi Vitamin C ke dalam badan yang dimasukkan terus ke dalam saluran darah.

Berikut merupakan beberapa perkara berkaitan vitamin C dan sejauh mana keberkesanannya untuk memutihkan kulit.

Gambar hiasan

1. Dikenali sebagai L-ascorbic asid atau pun ascorbate ion

Perkataan ascorbic adalah daripada ‘ascorbus’ yang bermaksud tiada scurvy. Istilah ini diambil bersempena dengan makanan yang dapat menghindarkan diri daripada terkena penyakit scurv

y, iaitu pendarahan gusi.

Scurvy merupakan penyakit yang melibatkan pendarahan yang melibatkan gusi dan disebabkan badan tidak dapat menghasilkan kolagen untuk penyembuhan tisu ketika ketiadaan vitamin C.

2. Kebanyakan organisma lain hasilkan vitamin C dengan sendiri

Ini disebabkan kehadiran beberapa jenis enzim pada organisma tersebut yang mampu menukarkan glukosa kepada vitamin C. Asal usul vitamin C sebenarnya daripada gula. Malah, struktur vitamin C itu sendiri mempunyai asas glukosa.

Berlainan bagi manusia yang tidak mampu menghasilkan vitamin C dengan sendirinya. Ini kerana manusia tak boleh menghasilkan enzim-enzim yang membantu dalam penghasilan vitamin C tersebut. Jadi, manusia perlu mendapatkannya daripada sumber luar.

3. Merupakan anti-oksida

Kehadiran vitamin C dalam badan mampu membantu menghapuskan radikal bebas dan melindungi kulit serta membantu dalam penyembuhan kulit jika diberi secara topical (krim) kepada kulit.

4. Punca kerosakan dan kekedutan kulit adalah sinaran UV

Sinaran UV daripada matahari akan menyebabkan lapisan sel kulit menghasilkan lebih banyak radikal bebas yang dikenali sebagai reactive oxygen species. Ia mampu untuk merosakkan pelbagai struktur sel dan juga protein.Disebabkan kolagen merupakan salah satu protein yang banyak di bahagian kulit, maka protein inilah yang akan dirosakkan dan akan menyebabkan kedutan pada kulit dan wajah.

Pengambilan vitamin C secara topikal (krim) telah dibuktikan mampu mengurangkan kerosakan yang berpunca daripada sinaran UV. Malah, ia juga dikatakan dapat melindungi sel dan juga protein daripada dirosakkan oleh radikal bebas.

5. Putihkan secara oral

Berdasarkan kajian yang telah dibuat, vitamin C mampu memutihkan secara oral dan juga intravenous tidak akan meningkatkan kuantiti vitamin C secara signifikan di bahagian kulit. Oleh sebab itu para pengkaji lebih memfokuskan pemberian vitamin C secara topikal, iaitu letak terus pada kulit kerana ia nya dibuktikan lebih efektif dan terus menjurus ke kulit.

Gambar hiasan

6. Pemutihan kulit dengan vitamin C

Belum ada kajian yang betul-betul membuktikan vitamin C mampu untuk memutihkan kulit kerana masih lagi berada pada peringkat makmal saja.

Kajian di makmal telah menemui bahawa vitamin C mampu mengurangkan penghasilan pigmen yang dipanggil sebagai melanin. Pigmen ini menyebabkan kulit menjadi gelap. Vitamin C mengurangkan pigmentasi dengan cara merencatkan fungsi enzim tyrosinase di dalam sel melanocytes. Ini menjadikan penghasilan melanin berkurangan dan secara teorinya menyebabkan kulit bertambah cerah.

Jadi kesimpulannya, penyuntikan vitamin C secara intravenous tidak akan meningkatkan kandungan vitamin C di bahagian kulit secara signifikan.

Malah, secara amnya tidak ada kajian yang benar-benar dijalankan pada manusia menunjukkan vitamin C boleh memutihkan kulit sama ada melalui oral (mulut), intravenous(melalui saluran darah) dan juga secara topical (sapu terus pada kulit).

Sumber: Root of Science

IKLAN