
Aktor berpengalaman, Zul Ariffin tidak menafikan bentuk fizikalnya agak berisi ketika menjalani penggambaran filem aksi komedi terbaharu, Magik Rompak arahan sutradara terkenal, Adrian Teh.
Pelakon berusia 39 tahun itu berseloroh, meskipun berat badannya mencecah lebih 100 kilogram ketika itu, dia tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk membintangi naskhah berkenaan.
“Saya gemuk dalam filem itu. Pengarah ada tanya untuk kecilkan sedikit, tapi saya rasa macam okay dengan fizikal ketika itu. Namun apabila lihat semula, nampak sedikit besar.
“Tapi bersyukur, ada juga yang ambil berlakon. Berat saya dalam filem ini tidak silap dalam anggaran 100 hingga 102 kilogram. Namun, berat saya yang sekarang adalah 83 kilogram.
“Berat yang sekarang saya turunkan untuk sebuah lagi filem yang bakal keluar nanti. Kalau yang dalam filem Magik Rompak dah macam peti ais,” katanya.
Zul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Magik Rompak di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zul menjelaskan dia kini lebih disiplin menjaga berat badan demi memastikan dirinya kekal cergas untuk melakonkan babak aksi.
“Dengan umur saya yang sekarang berusia 39 tahun, saya tidak akan biarkan berat badan saya melebihi 89 kilogram.
“Supaya jika ada terlibat dengan mana-mana filem aksi yang menuntut untuk berlawan, memudahkan untuk saya turun dengan mudah,” kongsinya.
Dalam masa sama, Zul menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Adrian serta barisan pelakon lain sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
“Tiada sebarang cabaran yang menyukarkan, segalanya berjalan dengan baik sepanjang proses penggambaran.
“Ini juga pengalaman pertama saya berlakon di bawah arahan Adrian, dia ada cara tersendiri ketika mengarah.
Pelakon dalam filem ini juga ramai dan saya seronok dapat bekerjasama dengan mereka,” tuturnya lagi.
Selain Zul, Magik Rompak yang akan menemui penonton di pawagam bermula
11 September ini turut menampilkan Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Amelia Henderson, Yasmin Hani, Fabion Loo, Miller Khan dan ramai lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.