
Dunia lakonan bukan satu-satunya pentas buat aktor berbakat, Ben Amir. Kini, pelakon berusia 34 tahun itu melangkah setapak lagi apabila secara rasmi membuka kafe miliknya sendiri yang diberi nama ‘Rasa’ di Pulau Siargao, Filipina.
Berita menggembirakan itu dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Chandelier tersebut menerusi satu hantaran di Instagram bersempena majlis pembukaan kafe berkenaan, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupannya.
Bagi Ben Amir, pembukaan ‘Rasa’ bukan sekadar pembukaan sebuah premis makanan, tetapi membawa makna yang lebih mendalam sebagai simbol perjalanan hidup yang baharu, lebih-lebih lagi apabila ia direalisasikan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Terima kasih kepada semua rakan yang hadir, menunjukkan kasih sayang dan menyokong kami sejak hari pertama. Ia amat bermakna buat saya.
“Memulakan perjalanan baharu ini sambil menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat. Semoga tempat ini membawakan makanan yang enak, insan-insan yang baik dan memori yang indah buat semua,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Di sebalik pembukaan ‘Rasa’, Ben mempunyai misi yang lebih besar iaitu memperkenalkan identiti dan keunikan masakan Malaysia kepada penduduk tempatan serta pelancong antarabangsa yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Antara tarikan utama kafe berkenaan ialah hidangan ikonik Malaysia seperti nasi lemak dan sambal ikan, yang sinonim dengan cita rasa tempatan.
Usaha ini bukan sahaja mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah secara tidak langsung memperkenalkan budaya dan identiti negara kepada dunia luar.
Lebih membanggakan, ‘Rasa’ menjadi kafe pertama di pulau tersebut yang menawarkan masakan asli Malaysia dan sajian halal.
Inisiatif ini membuka peluang kepada komuniti Muslim serta pelancong untuk menikmati hidangan tempatan tanpa sebarang keraguan, sekali gus menjadikan ‘Rasa’ sebagai destinasi yang inklusif dan mesra semua.
Langkah ini juga mencerminkan keprihatinan bekas Hero Remaja itu dalam memastikan setiap pelanggan dapat menikmati makanan dengan selesa dan yakin.
Demi memastikan setiap hidangan mengekalkan keaslian dan kualiti terbaik, Ben turut mengambil pendekatan unik dengan menanam sendiri pelbagai tumbuhan dan herba di sekitar kawasan kafenya.
Antara tanaman yang diusahakan termasuk nanas, mangga, serai, kunyit dan daun pandan iaitu bahan-bahan penting yang sering digunakan dalam masakan Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.