Dunia lakonan bukan satu-satunya pentas buat aktor berbakat, Ben Amir. Kini, pelakon berusia 34 tahun itu melangkah setapak lagi apabila secara rasmi membuka kafe miliknya sendiri yang diberi nama ‘Rasa’ di Pulau Siargao, Filipina.
Berita menggembirakan itu dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Chandelier tersebut menerusi satu hantaran di Instagram bersempena majlis pembukaan kafe berkenaan, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupannya.
Simbolik Perjalanan Baharu Penuh Makna
Bagi Ben Amir, pembukaan ‘Rasa’ bukan sekadar pembukaan sebuah premis makanan, tetapi membawa makna yang lebih mendalam sebagai simbol perjalanan hidup yang baharu, lebih-lebih lagi apabila ia direalisasikan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Terima kasih kepada semua rakan yang hadir, menunjukkan kasih sayang dan menyokong kami sejak hari pertama. Ia amat bermakna buat saya.
“Memulakan perjalanan baharu ini sambil menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat. Semoga tempat ini membawakan makanan yang enak, insan-insan yang baik dan memori yang indah buat semua,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Ads
Membawa Identiti Malaysia Ke Pulau Siargao
Di sebalik pembukaan ‘Rasa’, Ben mempunyai misi yang lebih besar iaitu memperkenalkan identiti dan keunikan masakan Malaysia kepada penduduk tempatan serta pelancong antarabangsa yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Antara tarikan utama kafe berkenaan ialah hidangan ikonik Malaysia seperti nasi lemak dan sambal ikan, yang sinonim dengan cita rasa tempatan.
Usaha ini bukan sahaja mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah secara tidak langsung memperkenalkan budaya dan identiti negara kepada dunia luar.
Ads
Kafe Malaysia Pertama Tawar Sajian Halal Di Siargao
Lebih membanggakan, ‘Rasa’ menjadi kafe pertama di pulau tersebut yang menawarkan masakan asli Malaysia dan sajian halal.
Inisiatif ini membuka peluang kepada komuniti Muslim serta pelancong untuk menikmati hidangan tempatan tanpa sebarang keraguan, sekali gus menjadikan ‘Rasa’ sebagai destinasi yang inklusif dan mesra semua.
Langkah ini juga mencerminkan keprihatinan bekas Hero Remaja itu dalam memastikan setiap pelanggan dapat menikmati makanan dengan selesa dan yakin.
Demi memastikan setiap hidangan mengekalkan keaslian dan kualiti terbaik, Ben turut mengambil pendekatan unik dengan menanam sendiri pelbagai tumbuhan dan herba di sekitar kawasan kafenya.
Antara tanaman yang diusahakan termasuk nanas, mangga, serai, kunyit dan daun pandan iaitu bahan-bahan penting yang sering digunakan dalam masakan Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Putri Qisya bangkit dari tragedi Sungai Korok menjadi satu tajuk yang merangkum kisah duka, kekuatan dan harapan seorang remaja kecil yang luar biasa jiwanya. Tragedi Sungai Korok yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jitra, Kedah masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia, namun di sebalik peristiwa pilu itu, lahir sebuah kisah inspirasi yang menyentuh hati ramai.
Putri Qisya Nur Izzat, 12 tahun, merupakan satu-satunya anak yang terselamat dalam tragedi tersebut. Kehilangan ibu bapa serta empat adik-beradiknya dalam satu kejadian bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi oleh seorang kanak-kanak yang masih di bangku sekolah. Namun, Putri Qisya membuktikan bahawa kesedihan tidak semestinya memusnahkan masa depan.
Dari Kehilangan Terbesar, Lahir Kekuatan Jiwa
Empat bulan selepas tragedi yang merubah seluruh hidupnya, Putri Qisya bangkit dari tragedi Sungai Korok sebagai simbol ketabahan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Murid di sekolahnya. Detik bersejarah itu menjadi tular di media sosial dan mengundang sebak dalam kalangan masyarakat yang menonton rakaman tersebut.
Dalam video yang dikongsikan, Putri Qisya dilihat melangkah ke pentas dengan penuh yakin, wajahnya dihiasi senyuman tenang, seolah-olah menyembunyikan luka besar yang tersimpan di hati. Berdiri di hadapan guru dan rakan-rakan, dia bukan sekadar menerima sebuah anugerah, tetapi membawa bersama kisah perjuangan yang mengajar makna sebenar kekuatan.
Pengacara majlis yang membacakan pencapaian Putri Qisya turut tidak dapat menyembunyikan rasa sebak. Ujian berat yang menimpa gadis kecil ini digambarkan sebagai satu kehilangan yang amat besar, namun ketabahan dan sikap positifnya menjadikan dia layak diangkat sebagai Tokoh Murid bagi sesi akademik 2025.
Disenangi Guru, Dihormati Rakan
Di sekolah, Putri Qisya dikenali sebagai seorang murid yang berdisiplin, merendah diri serta mudah disenangi. Walaupun berdepan kehilangan paling besar dalam hidupnya, semangatnya untuk belajar tidak pernah luntur.
Putri Qisya bangkit dari tragedi Sungai Korok bukan dengan melupakan kesedihan, tetapi dengan memilih untuk terus berusaha. Sikap bertanggungjawab, hormat kepada guru serta hubungan baik bersama rakan-rakan menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai Tokoh Murid.
Ketabahan mental dan kewibawaannya memberi inspirasi bukan sahaja kepada warga sekolah, malah kepada remaja di seluruh negara yang mengikuti kisah hidupnya.
Impian Tinggi Seorang Remaja Kuat
Di sebalik senyuman yang dipamerkan, Putri Qisya menyimpan cita-cita besar. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) agar dapat berbakti kepada negara dan mengangkat nama keluarga yang amat dicintainya.
Impian tersebut bukan sekadar angan-angan, tetapi lahir daripada semangat untuk membina masa depan yang lebih baik. Kejelasan matlamat hidup inilah yang menjadikan Putri Qisya contoh terbaik bahawa usia muda bukan penghalang untuk memiliki visi yang besar.
Sokongan Padu Untuk Masa Depan
Keprihatinan terhadap nasib Putri Qisya turut diterjemahkan melalui sokongan pelbagai pihak. Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK) telah menaja sepenuhnya pengajian beliau.
Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menjadikannya sebagai anak angkat dan akan membantu mendapatkan penempatan di MRSM serta memantau perjalanan pendidikannya sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Di media sosial, rata-rata warga maya mengakui gagal menahan air mata selepas menonton video Putri Qisya menerima anugerah tersebut. Doa dan kata-kata semangat terus mengalir, mendoakan agar Putri Qisya bangkit dari tragedi Sungai Korok dengan kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Inspirasi Buat Remaja Malaysia
Kisah Putri Qisya bangkit dari tragedi Sungai Korok menjadi peringatan mendalam buat semua remaja bahawa hidup tidak selalu berjalan seperti yang dirancang. Namun, kekuatan untuk bangkit sentiasa ada dalam diri.
Dalam kehilangan yang paling menyayat hati, Putri Qisya memilih untuk terus melangkah ke hadapan, membuktikan bahawa harapan tetap wujud walau di tengah kegelapan.
Putri Qisya bukan sekadar Tokoh Murid di sekolahnya, tetapi kini menjadi simbol ketabahan dan inspirasi kepada seluruh negara. Sebuah kisah yang mengajar kita bahawa insan luar biasa sering lahir daripada ujian yang luar biasa.
Siapa tak kenal dengan Dato’ Alha Alfa, usahawan kosmetik dan figura yang merupakan antara nama jurumekap artis (MUA) yang dikenali dikalangan industri seni kita.
Bermula dengan minat terhadap seni solekan dan kemudian menjadi makeup artist, Dato’ Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau mesra di sapa Dato’ Alha Alfa mengusahakan lebih daripada satu outlet jenama Alha Alfa Cosmetics dan berstatus jutawan!
Ketika menjadi makeup artist lagi, karakter menyenangkan Dato’ Alha yang berdisiplin dan menepati masa dikagumi ramai. Biarpun semakin maju dalam berniaga dan berpangkat VIP namun peribadi Dato’ Alha tetap sama seperti dulu yang terkenal dengan sifat rendah diri.
Enggan mendabik dada dengan kurniaan rezeki yang diterimanya, Dato’ Alha dalam temu bual berkongsi sisi hidup sebelum berjaya. “Saya mula terlibat dengan dunia mekap ini ketika belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Waktu itu roommate saya pelajar fotografi. Jadi mereka ada tugasan untuk shoot model dan memerlukan makeup artist.
First mekap yang saya iaitu ekor burung merak di bahagian mata untuk final project roommate saya tadi. Alhamdulillah, gambar yang diambil berjaya masuk galeri UiTM dan menarik minat pensyarah.
Kredit Instagram @alhaalfaKredit Instagram @alhaalfa
Dari situ saya mula dapat networking dan mereka mula minta saya mekap. Memandangkan duit PTPTN yang saya dapat tak cukup untuk pengajian, saya terima kalau ada yang minta untuk mekap.
Waktu itu bapa kerja tukang kebun dan ibu pula cuma jaga anak orang. Bawah saya ada lagi dua adik dan kakak pun masih belajar di universiti. Sebagai anak kedua, saya rasa takut untuk susahkan ibu ayah dan minta duit daripada mereka.
Bila ada yang minta khidmat saya untuk mekap, memang saya mengaku takut letak harga sebab belum pernah buat. Jadi saya cuba letak harga RM30 je.”
Tambah pengasas Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd ini lagi, “Sejak tu, tiap hujung minggu saya dah ada job. Saya akan siapkan assignment awal-awal. Sudahnya duit mekap yang saya kumpul sampai boleh bagi dekat ibu ayah.
Dari situ saya nampak yang mekap ni boleh buat duit. Selain duit tu saya guna untuk tampung belajar, saya juga share dengan kawan-kawan yang susah.
Lama kelamaan, lecturer minta saya mekapkan penari UiTM Seri Iskandar untuk satu persembahan di UiTM Shah Alam. Bayangkan dari Perak saya perlu mekap berpuluh orang penari sebab bila mereka sampai je di Shah Alam, terus kena perform. Sampai Shah Alam saya terus muntah sebab mekap mereka sepanjang dalam bas.”
Tidak pernah mempelajari asas solekan mahupun mengikuti sebarang kelas mekap, Dato’ Alha bersyukur kerana dikurniakan Allah SWT bakat semula jadi. Selain berbakat dalam solekan, beliau juga ada bakat memasak, menghias dan buat kek. Pendek kata, macam-macam benda boleh buat.
Dedah Dato’ Alha yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hiasan Dalaman atau interior design, ilmu yang dipelajari sedikit sebanyak membantu dirinya dalam bidang solekan terutama melibatkan kombinasi sesuatu warna.
“Waktu belajar memang saya sukses. Setiap semester dapat Anugerah Dekan dan Best Student sampai berpeluang pergi ke Beijing.
Jenis saya, kalau dah minat memang akan buat betul-betul. Dulu tak terfikir langsung pun nak jadi usahawan kosmetik atau makeup artist. Dulu nak jadi landscaper sebab tengok ayah tukang kebun. Iyalah, masa tu masih muda dan saya cuma nampak macam mana nak bantu ayah cantikkan lagi landskap.”
Walau pada mulanya beliau cuba menyembunyikan kerjaya sebagai makeup artist daripada pengetahuan keluarga namun Dato’ Alha akur memaklumkan perkara tersebut kepada kedua-dua ibu bapa.
“Lepas dah tahu, mereka tak marah sebaliknya supportive. Kadang ibu tolong sediakan keperluan mekap. Ayah pula tolong campurkan warna-warna untuk hasilkan efek yang lebih real. Ayah pun ada darah seni dan banyak membantu.
Kredit Instagram @alhaalfa
Sepanjang saya belajar UiTM Perak, ayah baru jadi tukang kebun. Sampai saya dah jadi makeup artist pun masih lagi kerja tukang kebun. Dari dulu sampai sekarang kalau ada job mekap, memang saya praktikkan ambil sejumlah duit yang saya dapat dan ‘letak tepi’ untuk bagi ibu ayah.
Dalam fikiran saya, kalau ada job mekap mesti ada duit untuk parents aku. Kalau balik tak tinggalkan duit untuk mereka, baik tak payah balik. Sampai macam tu sekali.
Jadi mereka dah ada duit gaji tiap bulan. Saya juga pesan dekat kakak yang jaga company, tiap-tiap bulan mesti ada duit untuk ibu ayah. Yang buatkan saya lebih semangat pergi kerja, fikir kalau malas mak ayah aku tak ada duit. Memang saya lebihkan mereka sebab kami pernah hidup susah.”
Ditanya bagaimana terdetik idea untuk berniaga kosmetik, ini jawapan telus Dato’ Alha. “Dari dulu saya banyak promote produk orang. Sampai satu tahap dan sedar pengaruh yang saya ada, saya terfikir untuk keluarkan produk kosmetik sendiri.
Jadi saya pun pergi ke kilang dengan ditemani kakak dan abang ipar. Dulu kilang cuma setuju keluarkan produk minimum 10,000 unit dan buat R&D sendiri yang kos dia cecah RM50 ribu.
Kredit Instagram @alhaalfaKredit Instagram @alhaalfa
Dengar je macam tu, saya terus ajak kakak balik. Saya pula takut nak pinjam duit sebab takut berhutang. Selama bertahun-tahun kakak yang urus duit saya. Iyalah kakak sendiri, memang kita percaya tak terfikir dia tipu adik sendiri.
Tiap kali saya habis job mekap dan orang bank in duit ke kakak, dia akan terus bagi duit dekat saya. Memang saya tak persoal berapa saya dapat dan percaya dengan kakak selama bertahun.
Satu hari kami pergi ke kilang lagi dan pulang hampa sebab tak mampu keluarkan produk. Kakak tanya betul ke saya nak produk mekap ni. Sudahnya dia beritahu sepanjang bertahun jaga duit mekap saya, dia dah sorok dan simpan banyak duit yang saya ada sebenarnya sebab dia tak nak saya boros. Duit yang kakak simpan tu cukup untuk buat modal produk.
Kami jumpa balik dengan orang kilang dan terus buat. Seribu botol pertama yang keluar tu memang dah ada pembeli. Dari bungkus parcel sendiri dan kemudian keluarga kena tolong sampai beribu-ribu parcel kena urus, lama-lama kakak kata dah patut ada company.”
Perancangan Allah SWT untuk Dato’ Alha nyata tersusun indah. Berkat kerja keras, sikap beliau yang sering mengutamakan ibu bapa dan adik-beradik pastinya menjadi salah satu ‘resipi’ kejayaan beliau hari ini.
Tambahan pula, sikap dermawan Dato’ Alha yang suka membantu golongan susah tanpa mengira bangsa mahupun agama. Semoga perkongsian Dato’ Alha ini menjadi suntikan semangat dan inspirasi untuk remaja diluar sana untuk berjaya.
Kredit : Nona
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tabiat menonton video lucah menerusi alat peranti dalam kalangan remaja dan orang dewasa seringkali akan berubah menjadi satu ketagihan yang sukar untuk dihentikan.
Dari sudut kerohanian pula, wujud beberapa pertanyaan berhubung tabiat ini. Antaranya termasuklah sama ada hati seseorang individu yang sering mencari dan melayari laman sesawang mahupun aplikasi yang menawarkan kandungan lucah akan digelapkan oleh Tuhan?
Berikut adalah pertanyaan yang pernah diajukan dan jawapan yang diberikan oleh Mufti Selangor berhubung hal ini.
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang status pertanyaan ini: “Tengok video lucah? 44 hari Allah akan gelapkan hati kita dan tidak mendapat cahaya hidayah darinya.” Sekian, terima kasih.
Jawapan daripada pihak Mufti Selangor menerusi kolum eMusykil:
Merujuk kepada persoalan saudara, pertamanya, pertanyaan tersebut sekadar peringatan atau nasihat yang boleh diambil pengajaran.
Perbuatan melihat video lucah adalah haram dan berdosa serta merosakkan akhlak sebagai seorang Muslim.
Firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah an-Nuur : 30)
Pelakunya hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Kedua, apa-apa dosa yang dilakukan oleh setiap Muslim sama ada di internet atau di mana-mana jua, pelakunya hendaklah segera bertaubat sebelum terlambat. Berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang bertaqwa dan berakhlak dalam menjalani kehidupan mengikut garis panduan Islam.
Sentiasa bermuhasaba dan jauhkan dari melakukan dosa. Begitu juga apa-apa post, share yang dilakukan di media seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan seumpamanya hendaklah segera dipadam dan mohon maaf pada semua pihak. Sebaiknya tutup akaun tersebut agar tidak menjadi fitnah ke atas mereka yang telah bertaubat.
Seterusnya, jangan mudah menyebarkan apa-apa pertanyaan yang tidak pasti kesahihannya. Ia juga boleh mengundang dosa dan menjadi kesalahan di sisi undang-undang komunikasi di media.
*
Makanya, korang boleh mengambil beberapa poin utama daripada jawapan yang dikongsikan oleh pejabat Mufti Selangor ini.
Ketagihan terhadap kandungan lucah sama ada foto, video mahupun audio adalah diharamkan di sisi agama. Perkongsian semula menerusi kaedah reshare, repost dan cross post di bahagian stories mahupun laman feed utama di akaun kita atau di akaun kendalian kita juga salah sekiranya ia boleh mengundang fitnah atau menaikkan keghairahan pada pihak lain.
Moga-moga kita semua boleh menjauhkan diri daripada terjerumus dalam isu ketagihan kandungan lucah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
JALEN Star Chef 2 menyaksikan persaingan semakin sengit apabila peserta Taylor’s University berdepan cabaran masa, tekanan kamera dan kreativiti dalam menghasilkan hidangan terbaik menuju Grand Finale.