
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah meluahkan rasa terharu selepas menyedari tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sentiasa memakai tali leher yang dihadiahkannya setiap kali menghadiri prosiding mahkamah.
Menurut Bella, perkara itu hanya disedarinya baru-baru ini selepas menonton semula beberapa rakaman video melibatkan Syed Saddiq.
“Setiap kali YB pergi ke mahkamah, kalau kalian perasan cantik tak tali leher dia?
“Saya baru perasan. Kalau kalian nak tahu, saya sangat menghargainya,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok.
Pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu berkata, dia sendiri masih belum sempat bertanyakan perkara tersebut kepada Syed Saddiq. Namun, Bella mengakui tersentuh apabila mengetahui hadiah kecil yang pernah diberikannya begitu dihargai oleh insan tersayang.
“Saya pun belum cakap dengan dia lagi. Rupa-rupanya setiap kali dia pergi ke mahkamah, dia pakai tali leher yang saya hadiahkan. Saya baru tahu.
“Patutlah dia selalu tanya, ‘Cantik tak tali leher ini?’ Sebab saya sendiri dah terlupa.
“Baru saya tengok balik video-video dia. Saya cakap dekat mak saya, ‘Yang ini saya beli di Brunei, yang ini pula saya beli di Sarawak’,” jelasnya.
Perkongsian Bella itu turut mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan tindakan Syed Saddiq memakai hadiah daripada tunangnya setiap kali menghadiri prosiding mahkamah.
Malah, ramai menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk penghargaan terhadap insan tersayang, selain mendoakan agar hubungan pasangan tersebut terus dipermudahkan sehingga melangkah ke alam perkahwinan.
Untuk rekod, Bella mengikat tali pertunangan dengan Syed Saddiq pada 28 Mac lalu. Pasangan itu juga sebelum ini mendedahkan mereka sudah menetapkan tarikh untuk mendirikan rumah tangga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.