“Beliau Tersenyum Lepas Menonton” Finalis Hero Remaja Ini Terpilih Pegang Watak Taib Mahmud

Share

 

Dengan kemasukan ramai muka baharu dalam industri lakonan sekarang, agak sukar sebenarnya untuk seseorang itu menempatkan diri menerusi naskah lakonan berkualiti.

 

Faktor saingan pula tentulah sengit dan bukan calang-calang. Ditambah pula dengan trend semasa produksi yang gemar memilih pelakon berdasarkan kepada jumlah pengikut di media sosial, agak sukar bagi pelakon muda mencari peluang atas tiket bakat.

Perkara itu diakui oleh finalis pencarian Hero Remaja 2017 dari Sarawak, Ezmir Sadriq. Pelakon berusia 22 tahun itu bagaimanapun bersyukur apabila masih menerima kepercayaan untuk memegang watak baharu dari semasa ke semasa.

Terbaru, Ezmir terpilih untuk menjayakan watak Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam filem pendek berjudul Abdul Taib Mahmud: An Untold Story.

Whoa!

Filem pendek berdurasi 15 minit itu merupakan projek istimewa arahan Alester Leong untuk dipersembahkan kepada Tun sempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau ke-84 dan ia merupakan peluang yang hadir sekali seumur hidup buatnya.

Bercakap kepada REMAJA sebaik sahaja ia ditonton oleh Tun, Ezmir menyifatkan respon Tun setelah menonton adalah salah satu pencapaian terbesar buatnya memandangkan Tun merupakan salah satu figura paling dikagumi dalam kalangan orang Sarawak.

“Saya menantikan siaran livestream acara sambutan itu hanya untuk melihat reaksi beliau. Saya menarik nafas lega bila dia tersenyum lebar sebaik saja tayangan filem pendek kami berakhir.

Foto: Ben Foo.

“Pada asalnya, durasi filem ini adalah sekitar 20 minit. Namun ia terpaksa dipotong untuk dimuatkan dalam slot kami semasa acara tersebut.

“Abdul Taib Mahmud: An Untold Story adalah sebuah projek yang cukup berbeza kerana ia menceritakan kisah Tun yang tidak diketahui ramai. Dan ia juga menyentuh topik keagamaan dalam pendidikan yang mungkin dirasakan sensitif untuk sesetengah pihak. Namun pada saya, itu adalah realiti kehidupan pengajiannya di St Joseph’s Secondary School, Kuching. Beliau seorang yang revolutionary dan saya bangga dapat memainkan watak beliau,” kata Ezmir.

Foto: Ben Foo.

Tambahnya lagi, dia berjaya memperolehi watak tersebut setelah berjaya melalui proses ujibakat dengan cemerlang. Meskipun hanya mengambil masa 3 hari saja untuk sesi penggambaran di sekitar Kuching, Ezmir tidak memperlekehkan tugasnya sebagai pelakon dengan melakukan research secukupnya mengenai Tun Abdul Taib Mahmud.

“Saya lebih tinggi, lebih cerah dan wajah saya juga lebih tirus berbanding beliau. Lalu, untuk menjadikan lakonan saya lebih realistik, saya cuba mengolah posisi badan dan muka. Contohnya, saya perlu mendongakkan dagu bagi membuatkan wajah saya lebih lebar dalam skrin,” jelasnya lagi.

Foto: Ben Foo.

Ditanya sama ada dia akan terus melibatkan diri dalam dunia lakonan, Ezmir menjelaskan dia sedang terlibat dalam penggambaran sebuah drama untuk saluran TV Okey berjudul Pelangi Hati.

Pada masa yang sama, dia masih gigih bergelar pelajar dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di sebuah universiti swasta di Kuching.

Bagi korang yang ingin menonton filem pendek Abdul Taib Mahmud: An Untold Story, klik link di bawah:

IKLAN