Belajar 100% Dalam Bahasa Jerman! Anak Malaysia Ini Tersenarai Sebagai Pelajar Terbaik Di University of Applied Sciences Düsseldorf

Share

Baru-baru ini, seorang pelajar berasal dari Selangor, Muhammad Qayyum Fakhrullah Mazhazmi mencipta sejarahnya tersendiri apabila tersenarai sebagai salah satu dari 9.52% pelajar terbaik di University of Applied Sciences Düsseldorf bagi sesi musim sejuk 2024.

Menurut perkongsian menerusi Facebook MARA Frankfurt, walaupun Qayyum berdepan cabaran pembelajaran sepenuhnya dalam bahasa asing, beliau berjaya membuktikan tiada yang mustahil jika ada usaha dan semangat yang tinggi. 

Dalam pada itu, apa yang lebih membanggakan, pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Proses dan Alam Sekitar (Process and Environmental Engineering) itu dilakukan 100% dalam bahasa Jerman.

Meskipun, ramai pelajar antarabangsa memilih laluan pengajian dalam bahasa Inggeris, namun tidak bagi jejaka ini yang menyahut cabaran luar biasa dan membuktikan keupayaan dirinya dengan pencapaian luar biasa.

Bukan setakat menamatkan pengajian, beliau turut memperoleh gred tertinggi 1,0 (bersamaan 100%) untuk tesis akhir dan purata keseluruhan 1,5 (lebih 90%) dan ini membuktikan bukan sahaja mampu menguasai bahasa Jerman, malah Qayyum juga mampu bersaing cemerlang dalam bidang teknikal yang kompleks.

“Projek ini menumpukan kepada pembangunan teknologi pemangkin untuk menukarkan gliserol kepada gas sintetik seperti hydrogen,” tulis perkongsian MARA Frankfurt.

Selain itu, tesis Qayyum bertajuk Catalytic Steam Reforming of Glycerol for Syngas Production dijalankan bersama syarikat Fraunhofer UMSICHT, salah satu institut penyelidikan sains gunaan terkemuka di Jerman. Projek ini menjadikan beliau bukan sekadar seorang penuntut universiti, tetapi turut menyumbang dalam penyelidikan inovatif dalam bidang tenaga mampan.

Di sebalik pencapaian akademik, Qayyum tidak melupakan jati dirinya sebagai anak Malaysia kerana beliau aktif dalam German-Malaysian Round Table (GMRT) di Düsseldorf dan turut membantu pelbagai acara komuniti di bawah unit Malaysian Düsseldorf (MaDü).

Sementara itu, Qayyum yang merupakan anak kepada seorang jurutera dan ibu suri rumah ini menyatakan bahawa kejayaannya banyak didorong oleh semangat ingin belajar serta sokongan keluarga. Program Young Talent Development Program (YTP) di bawah tajaan MARA turut menjadi batu loncatan buatnya menjejakkan kaki ke bumi Jerman dan bersinar di sana.

Kini setelah menamatkan pengajian, Qayyum menyimpan hasrat besar untuk kembali menyumbang kepada tanah air. Cita-citanya untuk bergiat dalam bidang industri kimia, minyak dan gas serta kejuruteraan hijau selari dengan agenda kelestarian global, jelas menunjukkan dirinya bukan hanya mahu berjaya untuk diri sendiri, malah demi masa depan negara.

Sumber: Facebook Mara Frankfurt

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE