Bagi kebanyakan pelajar, menamatkan pengajian di universiti sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
Namun, berbeza pula bagi Muhammad Izzahan Isman yang bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, malah turut mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai pencapaian akademik serta penglibatan aktif dalam bidang kepimpinan sepanjang berada di sana.
Kisah kejayaan anak muda itu dikongsikan menerusi program MARA Trailblazer – Graduation Series di Facebook yang mengetengahkan graduan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berjaya mencipta kecemerlangan sepanjang melanjutkan pengajian di luar negara.

Graduan Ekonomi Tajaan MARA
Menurut perkongsian tersebut, Izzahan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan juga pelajar tajaan MARA menerusi Young Talent Development Programme (YTP).
Lebih membanggakan, beliau merupakan bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor yang berjaya melakar perjalanan akademik cemerlang di peringkat antarabangsa.
Kekal Cemerlang Dengan CGPA 3.72
Perkongsian itu memaklumkan bahawa Izzahan berjaya mengekalkan prestasi akademik yang memberangsangkan sepanjang pengajian di Michigan State University.
“Berbekalkan asas pendidikan agama yang kukuh serta semangat untuk terus menimba ilmu, beliau melangkah ke Amerika Syarikat bagi merealisasikan impiannya.
“Sepanjang pengajian di Michigan State University, Izzahan berjaya mengekalkan keputusan akademik yang membanggakan dengan CGPA 3.72.
“Malah, kecemerlangan tersebut membolehkannya menerima beberapa pengiktirafan berprestij termasuk Spartan Difference Award – Initiative; Green Cranium Award – Problem Solving (Honorary Recipient) dan ROTC Academic Ribbons bagi pencapaian akademik melebihi 3.5,” kongsi hantaran itu.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan bahawa usaha, disiplin dan komitmen tinggi mampu membuka ruang kepada kejayaan yang lebih besar meskipun berada jauh di perantauan.
Aktif Dalam Bidang Kepimpinan & Kokurikulum
Bukan sekadar cemerlang dalam akademik, Izzahan juga aktif memperkasa potensi diri menerusi pelbagai aktiviti kokurikulum dan program pembangunan kepimpinan.
Antara penglibatan yang menjadi perhatian ialah penyertaannya dalam Army Reserve Officers’ Training Corps (ROTC) Cadet, sebuah program yang memberi pendedahan kepada aspek kepimpinan, disiplin serta pengurusan pasukan.
Penglibatan tersebut dilihat banyak membantu membentuk karakter dan kemahiran kepimpinan beliau sepanjang bergelar mahasiswa.
Anda mungkin berminat dengan

Terima Pengiktirafan Daripada Pegawai Tentera
Kesungguhan serta profesionalisme yang ditunjukkan Izzahan sepanjang menyertai program ROTC turut mendapat pengiktirafan rasmi.
Beliau dilaporkan menerima penghargaan daripada Professor of Military Science, Lieutenant Colonel (LTC) Sisoura atas komitmen, profesionalisme dan perkembangan kepimpinan yang dipamerkan sepanjang mengikuti program berkenaan.
Kejayaan Muhammad Izzahan Isman ini bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga dan MARA, malah turut menjadi inspirasi kepada golongan muda khususnya pelajar Malaysia untuk terus mengejar impian, sama ada dalam bidang akademik mahupun pembangunan sahsiah diri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kisah seorang pemuda dikenali sebagai Haziq kembali mendapat perhatian ramai selepas kisah hidupnya dikongsikan menerusi platform ERA Je di media sosial.
Pernah melalui pengalaman pahit selepas kematian ibu kandung apabila didakwa dihina dan dihalau oleh ibu saudaranya sendiri, Haziq bagaimanapun tidak menjadikan pengalaman tersebut sebagai penghalang untuk terus melangkah ke hadapan.
Sebaliknya, pemuda berkenaan bangkit membuktikan kemampuan dirinya apabila kini berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda menerusi penglibatannya dalam PALAPES atau badan beruniform di universiti.
Lebih membanggakan, Haziq yang merupakan penuntut Universiti Malaya (UM) juga kini hampir menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Daripada Kisah Pahit Kepada Sebuah Pencapaian
Perjalanan Haziq itu pastinya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas melalui episod sukar dalam kehidupan bersama keluarga sendiri.
Terdahulu, kisah pemuda tersebut pernah tular menerusi rakaman video yang memaparkan dirinya dimarahi oleh seorang wanita dipercayai ibu saudaranya.
Rakaman berkenaan meraih perhatian ramai sehingga ditonton jutaan kali di aplikasi TikTok.
Menerusi video tersebut, Haziq mendakwa dirinya telah dihalau serta dilemparkan kata-kata kesat selepas berlaku satu kejadian membabitkan kereta ibu saudaranya yang diconteng atau tercalar.
Tidak Menyangka Kisah Keluarga Raih Perhatian
Dalam pada itu, Haziq sebelum ini menjelaskan bahawa perkongsian video tersebut bukanlah bertujuan untuk mengeruhkan lagi keadaan atau membuka aib keluarga kepada umum.
Sebaliknya, dia hanya berharap perkongsian tersebut dapat membuatkan ibu saudaranya menyedari kesilapan yang berlaku.
Namun, tidak menyangka rakaman tersebut menjadi tular, kisah Haziq akhirnya mendapat perhatian ramai dan menjadi antara perkara yang membuatkan perjalanan hidupnya terus diikuti masyarakat.

Kini Bergelar Leftenan Muda
Selepas melalui pelbagai cabaran, Haziq membuktikan bahawa pengalaman pahit tidak semestinya menjadi penghalang untuk seseorang mencipta masa depan yang lebih baik.
Selain berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, penuntut UM itu turut mencatat beberapa pencapaian membanggakan sepanjang berada di universiti.
Haziq dilaporkan menerima Anugerah Mahasiswa Terbaik UM selain turut meraih Anugerah Dekan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pasti ini adalah berita baik untuk mereka yang membuat pinjaman dengan Bank Islam.
Banjir besar yang melanda Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor sememangnya antara yang terburuk pernah berlaku. Dikala negara sedang berdepan kenaikan kes positif pandemik Covid-19, bencana banjir menambah ujian yang sedia ada.

Namun begitu, dalam kesukaran mangsa-mangsa banjir menghadapi dugaan ini, ramai yang telah turun padang melawat mereka di pusat-pusat pemindahan dengan menghulurkan bantuan.
Terbaru, Bank Islam merupakan bank pertama yang menawarkan moratorium khusus bagi membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas akibat bencana banjir di bawah Program Prihatin dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Ringankan Beban Pelanggan
Inisiatif ini dijalankan bagi meringankan beban kewangan para pelanggan di bawah kemudahan Pembiayan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam yang menjadi mangsa banjir.

Mereka yang layak boleh memohon moratorium sehingga enam (6) bulan bagi bayaran komitmen bulanan mereka tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Sumber: Twitter Bernama TV via DaulTGM
∞
Bintang bola sepak terkenal dari Brazil, Neymar Jr., sekali lagi mencuri perhatian apabila membeli sebuah kereta mewah yang diinspirasikan daripada filem adiwira Batman pada harga AS$1.5 juta (RM6.3 juta), lapor portal berita VNExpress.
Kereta berkenaan merupakan Batmobile Tumbler, iaitu replika ikonik yang menyerupai kenderaan milik Batman dalam trilogi filem The Dark Knight arahan pengarah tersohor Christopher Nolan. Model ini bukan kereta mainan atau paparan pameran semata-mata, tetapi adalah sebuah jentera berkuasa tinggi yang boleh dipandu di jalan raya sebenar.
Hanya 10 Unit Di Dunia

Apa yang menjadikan pembelian ini begitu istimewa ialah Batmobile Tumbler ini adalah satu daripada hanya 10 unit yang dibina oleh studio Warner Bros sempena ulang tahun ke – 85 watak Batman. Ia juga direka khusus dengan dimensi yang mengagumkan sepanjang 4.65 meter dan selebar 2.8 meter, menjadikannya benar-benar menonjol di jalanan.
Lebih mengujakan, kereta ini dilengkapi dengan enjin V8 berkapasiti 6.2 liter yang mampu menghasilkan sehingga 525 kuasa kuda. Ia bukan sekadar simbolik kepada dunia adiwira, malah berfungsi sebagai kenderaan berprestasi tinggi yang seiring dengan gaya hidup mewah Neymar.
Pemilik Setia Dunia Batman
Neymar bukanlah peminat biasa apabila menyentuh soal Batman. Menurut laporan, beliau tidak pernah terlepas menyaksikan setiap tayangan filem adiwira tersebut, menjadikannya salah seorang peminat tegar watak ikonik berkenaan.

Pembelian kereta ini jelas membuktikan sejauh mana minat mendalam beliau terhadap dunia Batman menjadikan fantasi zaman kecil satu realiti melalui kuasa dan kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Gaya Hidup Mewah Seorang Ikon Sukan
Selain kereta adiwira ini, Neymar turut memiliki gaya hidup serba mewah yang mencerminkan statusnya sebagai antara atlet paling terkenal dan berpendapatan tinggi di dunia. Beliau mempunyai penthouse di Dubai bernilai AS$50 juta (RM211 juta), beberapa hartanah di Miami, serta sebuah pulau persendirian di Brazil.
Kisah Neymar ini bukan hanya tentang kemewahan semata-mata, tetapi juga bagaimana seseorang boleh mengejar minat dan menjadikannya kenyataan apabila berusaha dan berjaya dalam bidang yang diceburi.
BACA LAGI : Lamine Yamal Buat ‘Homework’ Di Euro 2024, Bintang Bola Sepak Sepanyol Usia 16 Tahun
Sumber
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞