Berita

“Bayar Seikhlas Hati” –Kegigihan Remaja Disleksia Cari Rezeki Raih Pujian Netizen

Share

Meskipun diuji dengan penyakit disleksia, seorang remaja tetap cekal mencari rezeki dengan menjual air balang menggunakan konsep unik iaitu pelanggan bebas membayar mengikut kemampuan masing-masing.

Menerusi perkongsian di TikTok oleh seorang pengguna dikenali sebagai Zufar Azman, remaja itu dilihat mengusahakan gerai air tembikai bersama adik-beradiknya di tepi jalan kawasan kediaman keluarga.

Apa yang mencuri perhatian ramai adalah gerai tersebut tidak meletakkan sebarang tanda harga pada jualan air balangnya.

“Bayar seikhlas hati,” katanya kepada pelanggan yang bertanya mengenai harga air tersebut.

Konsep Bayaran Raih Perhatian Pelanggan

Rata-rata pelanggan dilihat tergamam apabila diberitahu tentang konsep pembayaran berkenaan yang jarang dilakukan dalam urusan jual beli masa kini.

Malah, ada pelanggan yang hanya membayar serendah 10 sen dan 50 sen, namun Zufar tetap menerimanya dengan hati terbuka selain memberikan jumlah cawan air mengikut permintaan pelanggan.

“Kalau bayar guna duit besar, kita akan pulang baki. Kami terima yang ikhlas saja,” tambahnya lagi.

Netizen Tersentuh Dengan Keikhlasan Berniaga

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji keikhlasan dan usaha remaja tersebut dalam mencari rezeki meskipun berdepan cabaran pembelajaran.

Seorang pengguna dikenali sebagai Nidzamzen turut meninggalkan komen positif terhadap konsep yang diperkenalkan itu.

“Alhamdulillah, kalau niat baik macam ini Insya-Allah rezeki itu tetap ada,” ujarnya.

Turut meninggalkan komen, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Fjjffov yang berpendapat konsep tersebut lebih kepada amalan bersedekah berbanding berniaga semata-mata.

“Bayar ikut suka sebab dia tengah bersedekah bukan buat business (perniagaan),” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath