Berita

Bapa Suspek Kes Bunuh Pelajar Bandar Utama Luah Penyesalan Mendalam

Share

“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak memberi sebarang makna. Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka.”

Itulah luahan penuh penyesalan seorang bapa apabila anaknya yang baru berusia 14 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Bapa Suspek Kes Bunuh Pelajar Bandar Utama Luah Rasa Bersalah

Lelaki berusia 40 tahun itu, dalam satu temu bual bersama China Press, berkata hatinya remuk sebaik mengetahui apa yang dilakukan oleh anaknya. Katanya, dia tidak pernah menyangka anak yang dihantarnya ke sekolah seperti biasa pada pagi kejadian akan menjadi suspek dalam satu kes bunuh pelajar di Bandar Utama.

Menurutnya, anaknya seorang yang pendiam dan introvert, tidak banyak bercakap dan jarang berkongsi kisah hidup di sekolah. “Walaupun ada sesuatu berlaku — sama ada dia dibuli atau tidak — dia tidak akan memberitahu saya,” katanya dalam nada sebak.

Beliau turut mengakui bahawa tiada kata-kata atau perbuatan yang mampu menebus apa yang telah terjadi. “Saya tahu berkata apa-apa sekarang sudah tidak berguna. Tiada apa yang boleh mengembalikan anak perempuan mereka,” ujarnya lagi.

Polis Sahkan Kes Bunuh Pelajar Di Sekolah Bandar Utama

Polis mengesahkan kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai dilakukan dalam kawasan sekolah. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan suspek berusia 14 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Anak Saya Tak Tunjuk Apa-Apa Yang Pelik”

Bapa berkenaan berkata, pagi sebelum kejadian berlangsung seperti biasa. Dia menghantar anaknya ke sekolah tanpa sebarang tanda pelik atau perubahan sikap.

“Anak saya tak pernah menunjukkan perlakuan luar biasa. Dia cuma seorang pelajar biasa. Walaupun prestasi akademiknya tidak begitu cemerlang, dia bukan budak nakal,” katanya.

Namun kini, segalanya berubah sekelip mata. Lelaki itu mengakui hidupnya tidak akan sama lagi selepas kejadian ini. “Hati saya hancur. Saya masih tak percaya anak saya sanggup buat macam ni,” katanya penuh penyesalan.

Pentingnya Fahami Emosi Anak Remaja

Tragedi ini membuka mata ramai tentang betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam memahami emosi anak remaja. Dalam usia muda, mereka sering bergelut dengan perasaan marah, kecewa dan keliru — terutama bila berdepan penolakan atau tekanan sosial.

Pakar psikologi remaja menegaskan bahawa remaja yang pendiam bukan bermaksud mereka “baik-baik saja”. Kadangkala, mereka menyembunyikan tekanan dalaman yang besar kerana tidak tahu cara untuk meluahkan. Sebab itu, ibu bapa perlu aktif mendengar, bertanya dan meluangkan masa bersama anak-anak, walaupun mereka tidak banyak bercakap.

Persekitaran yang selamat untuk berkongsi perasaan boleh mengelakkan tragedi seperti ini berlaku. Satu perbualan kecil, satu pelukan, atau sekadar mendengar tanpa menghakimi — mungkin cukup untuk mengubah jalan cerita hidup seorang remaja.

Pesanan Untuk Semua

Kejadian ini bukan sekadar tragedi di sekolah, tetapi juga peringatan besar kepada masyarakat. Dalam dunia yang penuh tekanan dan gangguan emosi, remaja perlukan bimbingan dan perhatian, bukan sekadar hukuman.

Sebagai bapa, lelaki itu kini hanya mampu menyesali apa yang terjadi. “Saya doakan keluarga mangsa kuat. Saya tahu tiada maaf yang cukup, tapi saya tetap akan cuba menebusnya dengan cara apa pun yang termampu,” katanya dalam linangan air mata.

Remaja Reminder

Tiada siapa yang sempurna, tapi setiap remaja berhak didengari. Jika kau rasa tertekan, kecewa atau hilang arah, jangan diam. Bercakaplah dengan seseorang yang kau percaya  sebab kadang-kadang, hanya satu luahan kecil boleh selamatkan nyawa. 💔

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana