Berita

Bapa Posmen, Ibu Jahit Baju Cari Rezeki, Anak Kedua 7 Beradik Kini Jadi Peguam Di New Zealand

Share

Tidak pernah menjadikan latar belakang keluarga sebagai alasan untuk mengalah, seorang wanita kelahiran New Zealand, Nur Zahirah Khairudin, 25, membuktikan bahawa usaha dan pendidikan mampu membawa seseorang mencapai impian besar.

Lebih membanggakan, Nur Zahirah kini berjaya mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand, sekali gus mencuri perhatian ramai selepas kisah kehidupannya dikongsikan di media sosial.

Kisah wanita itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, @Akramzul, berkongsi perjalanan hidup Nur Zahirah menerusi satu hantaran baru-baru ini.

Miliki Ijazah Berkembar

Bukan sekadar berjaya dalam bidang perundangan, Nur Zahirah turut memiliki ijazah berkembar dalam Undang-Undang dan Sastera daripada University of Canterbury, Christchurch.

Untuk bidang Sastera pula, beliau mengambil pengkhususan dalam Bahasa dan Kebudayaan Jepun serta Linguistik.

Namun, di sebalik pencapaian akademik tersebut, perjalanan Nur Zahirah tidaklah semudah yang disangka.

Bantu Keluarga Sambil Belajar

Menurut Akramzul, Nur Zahirah dibesarkan dalam keluarga Melayu sederhana di New Zealand.

Bapanya bekerja sebagai posmen, manakala ibunya pula mengambil upah menjahit bagi membantu menampung keperluan keluarga.

Malah, Nur Zahirah turut bekerja sambilan ketika menuntut di universiti.

“Pada hujung minggu, Nur Zahirah membantu keluarganya menjual kuih pada sebelah pagi sebelum bekerja sambilan sebagai tukang cuci di sebuah motel pada tengah hari.

“Meskipun perlu membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk menamatkan pengajian serta memperoleh kelayakan dalam bidang perundangan,” katanya dalam hantaran di aplikasi Threads.

Pernah Dipandang Rendah Kerana Penampilan

Dalam perkongsian sama, Akramzul turut menceritakan bagaimana Nur Zahirah pernah dipandang rendah oleh seorang individu ketika menghadiri sebuah majlis.

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan penampilan serta kedudukan Nur Zahirah pada ketika itu.

Namun, pengalaman berkenaan tidak menjadi alasan untuknya berhenti mengejar impian. Sebaliknya, ia menjadi antara pengalaman yang mendorong wanita tersebut untuk terus berusaha demi mengubah nasib keluarganya.

Buktikan Anak Keluarga Biasa Juga Boleh Bermimpi Besar

Menurut Akramzul, kisah Nur Zahirah menjadi bukti bahawa seseorang tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan latar belakang atau kehidupan yang dilaluinya.

“Kadang-kadang kita melihat seseorang dan menganggap dia biasa-biasa sahaja. Tiada keluarga ternama dan tiada kisah keistimewaan yang hebat. Yang ada cuma ilmu, usaha, disiplin, doa dan pengorbanan ibu bapa.

“Nur Zahirah sedang membina masa depan, membawa nama keluarga dan paling penting, membuktikan kepada enam adik-beradiknya bahawa anak daripada keluarga biasa juga boleh bermimpi besar,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath