Bantu Cukupkan Wang Hantaran Adik Sahabat Nak Kahwin, Rezekinya Wanita Ini Dapat ke Tanah Suci

Share

Rezeki Allah memang tidak disangka-sangkakan. Sering disebut jika kita memudahkan urusan orang lain, maka Allah akan memudahkan urusan kita juga. Jika bukan hari ini, esok lusa atau tulat, janji Allah itu pasti.

Perkongsian dari Puan Natipah Abu yang banyak membantu anak-anak yatim dengan kerja-kerja kebajikannya ini sesungguhnya boleh memberi pengajaran yang baik kepada kita.

Sebabnya di bulan Ramadan ini, tanpa disangka rezekinya datang berganda apabila dapat menunaikan ibadah puasa di Makkah yang menjadi dambaan ramai umat Islam untuk mengerjakan umrah di bulan puasa.

Kebaikan hatinya yang memudahkan insan lain dengan mencukupkkan wang hantaran ternyata dibalas dengan kebaikan apabila dia dapat mengerjakan umrah hari ini sedangkan kalau ikutkan niatnya hanya mahu berbuat demikian pada tahun hadapan.

Puan Natipah Abu mendapat rezeki tidak disangka apabila diberi kesempatan menunaikan umrah di Makkah selepas berbuat kebaikan mencukupkan wang hantaran seorang sahabat yang adiknya tidak cukup wang untuk berkahwin

Baca kisah seperti mana dikongsi di laman fbnya, Natipah Abu.

SALAM KEMAAFAN ….

Alhamdulillah …
Dijemput lagi menjadi tetamu Allah dalam keadaan tidak disangka dan tidak dirangka.
3 May – 27 Syaaban 1440 Hijrah yang lalu.
Jam 10.30 pagi menerima mesej dari sahabat di KL yang juga berkenalan di FB dan menjadi sahabat baik sejak 5 tahun lalu . Memberitahu telah bertanya kepada travel agen tentang plan kami mengerjakan umrah bulan Mac tahun depan . Jawapan Kak Pah .. “ lambat lagi, sekarang baru habis April. Setahun lagi nu. Nanti kita sembang lain.” Kami pun ketawa sama-sama.

Jam 11 . 30 pagi,  Kak Pah menerima panggilan telefon dari seorang lagi sahabat di Perlis yang juga asalnya kenal dari FB tetapi kemudiannya berkawan baik. Dalam tangisan beliau memaklumkan bahawa walimah adiknya bakal berlangsung esok, tetapi wang hantaran masih belum cukup. Memikirkan ia melibatkan maruah banyak pihak maka Kak Pah terus mendopositkan jumlah berbaki yang diperlukan.

Jam 3 petang,  datanglah jemputan dari-Nya menerusi seorang sahabat yang juga mula kenal FB dan bersahabat baik sejak tiga tahun lalu. Lebih dari itu, kedua pasangan suami isteri ini juga antara yang banyak membantu kerja-kerja Kak Pah di belakang tabir selama ini. Dalam masa tiga jam saja urusan keberangkatan di proses dan selesai. Alhamdulillah, atas rezeki yang tidak disangka ini.

Dapat berpuasa di Makkah antara impian ramai umat islam kerana suasananya jauh berbeza.
Beginilah suasana berbuka puasa di Makkah

Sekejap lagi Kak Pah bakal berlepas ke Tanah Suci tanpa waris terdekat melainkan berserah kepada Allah sahaja untuk menemani dan melindungi diri yang kerdil dan hina ini.

Untuk makluman, urusan sedekah jariah kita akan berjalan setiap hari seperti biasa kerana akan diurskan oleh mereka yang telah sudi memikul amanah Kak Pah dan juga amanah kita.

Kepada semua sahabat handai tualan di luar sana, mohon ampun dan maafkanlah segala salah dan silap yang mungkin telah melukai hati kalian atau yang mengaibkan kalian. Mohon halalkan juga atas segala yang termakan dan terminum selama ini.

Doakan Kak Pah dipermudahkan segala urusan di sana, selamat pergi dan selamatlah kembali . Akhir kata, Salam kemaafan dengan penuh kasih sayang …

“لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَشَرَيْكَ لَكَ.”
“Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintah-Mu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu kami sahut seruan-Mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu.”

Sumber FB : Natipah Abu

IKLAN