
Penyanyi K-Pop sensasi, Lee Know Stray Kids baru-baru ini mencuri perhatian selepas menyumbangkan 100 juta Korea Won (kira-kira RM294,000) bagi membantu mangsa banjir besar di Nepal. Sumbangan tersebut disalurkan bagi menyokong usaha bantuan kepada kanak-kanak serta keluarga yang terjejas dan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat bencana berkenaan.
Difahamkan, Lee Know atau pemilik nama sebenar Lee Min-ho (28), menyerahkan sumbangan itu kepada World Vision pada 28 Ogos lalu serta berharap bantuan tersebut dapat digunakan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan dan nutrisi, tempat perlindungan sementara, selain kemudahan air bersih serta sanitasi kepada penduduk yang terkesan.
“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang melalui waktu sukar,” katanya menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh JYP Entertainment.
Dalam pada itu, sumbangan tersebut bukanlah kali pertama Lee Know menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan yang memerlukan. Beliau mula menaja kanak-kanak di luar negara menerusi World Vision sejak 2014 dan terus aktif menyokong pelbagai usaha kebajikan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, pada 2024, anggota Stray Kids itu menyumbangkan 100 juta Korea Won kepada program bantuan krisis makanan global World Vision yang memberi fokus kepada kanak-kanak di negara-negara termiskin dunia. Sumbangan berkenaan turut menjadikannya anggota termuda “Bob Pierce Honor Club”, sebuah kumpulan penderma yang telah menyumbang sekurang-kurangnya 100 juta Korea Won secara terkumpul.
Tidak berhenti di situ, beliau juga pernah menyumbangkan sejumlah 200 juta Korea Won pada 2025 kepada Samsung Seoul Hospital dan kumpulan penyelamat kucing, Nabiya Saranghae. Sumbangan tersebut masing-masing digunakan bagi membantu menampung kos rawatan dan penjagaan pesakit yang menghidap penyakit serius serta menyokong usaha menyelamat haiwan.
“Saya benar-benar berharap agar mereka yang terpaksa berpindah serta semua pihak yang terlibat dalam usaha bantuan dapat kembali menjalani kehidupan seharian dengan aman secepat mungkin,” ujarnya.
Selain usaha kebajikan secara peribadi, Lee Know bersama anggota Stray Kids yang lain turut menyumbang kepada operasi pemulihan susulan kebakaran hutan di wilayah Gyeongsang, Korea Selatan serta bantuan bencana kebakaran di Hong Kong pada tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Stray Kids baru sahaja melancarkan EP berjudul ‘This & That’ pada 7 Ogos lalu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila debut di kedudukan pertama Billboard 200, sekaligus menjadi album kesembilan berturut-turut kumpulan itu yang menduduki carta teratas berkenaan. Kini, Stray Kids sedang meneruskan siri jelajah bagi mempromosikan karya terbaru mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.