
Banjaran Himalaya menjadi saksi kepada pengalaman luar biasa dua anak muda Malaysia yang memilih untuk mencabar diri mereka sempena percutian akhir tahun 2025, baru-baru ini.
Pegawai bank merangkap juara Mister Planet Malaysia 2014, Eizaaz Farez Zakaria bersama rakan karibnya, Ungku Ismith Syafiq Ungku Khalid berjaya menawan Mardi Himal Base Camp yang terletak di Gunung Machapuchare dekat wilayah Nokhara, Nepal.
Pengembaraan ke Banjaran Himalaya ini bukan sekadar perjalanan fizikal. Ia turut menguji ketahanan mental, emosi dan semangat juang mereka sebagai anak Malaysia.
Menurut Eizaaz, mereka berjaya tiba ke Mardi Himal Base Camp (MBC) yang berketinggian sekitar 4,500 meter dalam tempoh hanya tiga hari.
Tempoh tersebut dianggap luar biasa kerana kebiasaannya, seorang pendaki mengambil masa antara lima hingga enam hari untuk melengkapkan pendakian ke base camp berkenaan.
Perjalanan bermula dari Kathmandu ke Pokhara dengan menaiki bas selama hampir lapan jam sebelum memulakan pendakian sebenar.
Sepanjang perjalanan, mereka melalui lapan kem berbeza yang masing-masing menuntut stamina serta disiplin tinggi untuk memastikan keselamatan diri.
Salah satu detik paling menyentuh perasaan buat Eizaaz ialah apabila mereka berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Banjaran Himalaya.
“Paling mengharukan adalah sewaktu kami mengibarkan bendera Malaysia di puncak. Ramai pekerja di sana teruja kerana pernah bekerja di Malaysia dan mereka merindui negara kita,” ujar Eizaaz.
Katanya lagi, pengalaman ini menyuntik semangat patriotik yang luar biasa dan menjadi pencapaian peribadi paling bermakna dalam hidupnya.
Kejayaan menawan Banjaran Himalaya ini juga membuka lembaran baharu buat Eizaaz dalam dunia pengembaraannya selepas ini.
Eizaaz ingin menjadikan pendakian ini sebagai permulaan kepada siri pengembaraan yang lebih mencabar pada masa hadapan; bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi sebagai inspirasi kepada anak muda Malaysia.
“Ia bukan tentang sampai ke puncak sahaja, tetapi tentang perjalanan, disiplin dan bagaimana kita mengawal emosi ketika berada dalam situasi sukar,” jelasnya.
BACA: Bosan Dengan Island Hopping? 5 Aktiviti Dalam Hutan Ni Boleh Korang Lakukan Di Sabah
Sementara itu, Ungku Ismith Syafiq mengakui pengembaraan ke Banjaran Himalaya memberi perspektif baharu tentang kesyukuran, ketabahan dan erti sebenar kerja keras buat dirinya.
Ungku Ismith Syafiq yang juga merupakan seorang pensyarah berkata, sepanjang pendakian mereka dapat menyaksikan sendiri kehidupan penduduk Nepal yang bergantung kepada gunung sebagai sumber rezeki.
“Kami melihat bagaimana penduduk Nepal mendaki hampir setiap hari demi menghantar bekalan. Mereka menggunakan keldai sebagai pengangkutan utama untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Pengembaraan ini bukan sekadar kisah menawan puncak, tetapi menjadi simbol kekuatan persahabatan, kecekalan mental dan semangat anak Malaysia yang berani mencabar diri di peringkat antarabangsa.
BACA: #GirlPower! Remaja Asal Subang Berjaya Tawan Puncak Tertinggi Benua Eropah
Banjaran Himalaya kekal menjadi salah satu destinasi impian hikers sedunia. Kejayaan dua sahabat ini membuktikan bahawa dengan perancangan rapi dan semangat tinggi, segalanya tidak mustahil.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.