
Baru-baru ini, pelajar dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran juara dalam pertandingan SeeNI X Remaja UniDrama menerusi karya berjudul ‘Bangkai’ arahan pasukan Cineman Pictures.
Kemenangan tersebut bukan sekadar trofi semata-mata, tetapi menjadi bukti bahawa bakat muda dalam kalangan mahasiswa tempatan semakin berani bereksperimen dengan idea segar dan berani.
Diterajui oleh Ketua Projek, Wan Marissa Fadhal (22), pelajar Ijazah Sarjana Muda Sinematografi, produksi ini menghimpunkan seramai 25 kru dan pelakon yang berusia antara 22 hingga 25 tahun.
Menurut Marissa, ‘Bangkai’ mengangkat genre thriller dengan sentuhan elemen seram, yang mengetengahkan kisah sebuah komuniti kucing yang cuba membongkar misteri pembunuh kucing di institusi universiti mereka.
Difahamkan, idea tersebut bukanlah sekadar fiksyen kosong, sebaliknya diinspirasikan daripada kes sebenar yang pernah tular sebelum ini dan masih belum terjawab sehingga kini.
“Sebenarnya kami ambil inspirasi dari kes yang tular sebelum ini dan sampai sekarang masih belum selesai, jadi kami jadikan itu sebagai elemen dalam short drama kami,” katanya ketika ditemui pihak media selepas acara Watch Party SeeNI X Remaja UniDrama yang berlangsung pada 11 Februari, semalam.
Jelasnya, penyertaan mereka dalam UniDrama juga bukan satu kebetulan. Dalam kalangan pelajar FiTA sendiri terdapat beberapa pasukan produksi, namun Cineman Pictures antara yang paling aktif menyertai pertandingan dan festival. Projek ini turut menyatukan empat pasukan produksi dalam satu kelas, sekaligus memperlihatkan semangat kolaborasi yang kuat.
@remaja.my Menurut ketua kepada projek drama pendek ‘Bangkai’, Wan Marisa dan pasukan produksi beliau Cineman Pictures mengambil inspirasi berdasarkan kisah benar yang tular di media sosial✨ Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Filem (FITA) dari UiTM Puncak Perdana, Harith Baharudin berharap lebih banyak peluang yang diberikan kepada pelajar untuk memperluaskan bakat & kreativiti mereka di pelbagai platform sedia ada👏🏻 #MajalahRemaja #Remaja #Seeni #RemajaMalaysia #UNIDRAMA ♬ original sound – Remaja
Susulan itu, usaha tersebut nyata membuahkan hasil apabila ‘Bangkai’ bukan sahaja mencuri perhatian juri, malah dipuji atas kekuatan visual dan nilai produksinya.
Menurut Pengasas Komet Productions yang juga merupakan juri industri berpengaruh, Datuk Ahmad Izham Omar menyifatkan kekuatan utama sesebuah karya terletak pada penceritaannya.
“Daripada pandangan saya yang paling penting adalah cerita yang boleh menggerakkan hati penonton dan bagaimana kita dapat menanam rasa ingin tahu setiap karakter,” katanya.
“Bagi saya, kekuatan Bangkai memang pada production value dan production design. Walaupun shot secara vertical (menegak). Mood, pengarahan dan kerja kamera mereka memang bagus,” jelasnya.
@remaja.my Menurut salah seorang juri SeeNI X Remaja: UNIDRAMA, Datuk Ahmad Izham Omar berkata para pelajar yang berminat untuk menceburi industri filem wajar mengambil peluang menyerlahkan bakat dengan menyertai pertandingan seperti ini✨🎬 #MajalahRemaja #Remaja #Seeni #RemajaMalaysia ♬ original sound – Remaja
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan platform seperti ini sebagai medan latihan sebenar buat pelajar. Lebih lagi, penghasilan filem memerlukan kerjasama, hujah yang kukuh serta keupayaan menterjemahkan visi skrip kepada visual yang berkesan.
Sementara itu, bagi Pensyarah Kanan Program Filem UiTM Puncak Perdana, Harith Baharudin pula melihat mikro-drama sebagai trend semasa yang membuka ruang lebih luas kepada bakat baru.
Katanya, perkembangan platform digital mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif, serta memberi peluang kepada pelajar untuk berkarya tanpa perlu menunggu lama untuk menembusi industri.
Bagi edisi sulung ini, kemenangan Bangkai dalam SeeNI X Remaja UniDrama jelas menjadi penanda aras baru buat pelajar FiTA UiTM Puncak Perdana. Menerusi kombinasi idea berani, semangat kolaborasi dan sentuhan teknikal yang matang, Cineman Pictures membuktikan bahawa generasi muda tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah bersedia mencorakkan masa depan industri kreatif tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.