Bakal Pengantin Perlu Jalani Ujian Swab Sebelum Nikah, Ini Respon Netizen

Share

Sejak dari tahun lepas lagi, bakal pengantin yang ingin mendirikan rumah tangga menerima ujian ketika pandemik COVID-19 ini kerana ada yang terpaksa membatalkan pernikahan mereka. Sehingga kini, masih ramai lagi bakal pengantin yang terpaksa menghadapi situasi ini dan ada yang mengambil keputusan untuk melakukan majlis akad nikah sahaja.

Dengan keadaan situasi seperti sekarang, majlis perkahwinan tidak boleh dijalankan dan hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan berada semasa akad nikah.

Foto: MKN (Gambar hiasan)

Namun, ia tertakluk kepada kerajaan negeri tersebut sama ada ingin menetapkan syarat-syarat lain sebelum bakal pengantin dinikahkan.

Di Kedah, semua bakal pengantin dari mukim, daerah dan negeri yang diisytiharkan zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjalani saringan ujian COVID-19 sebelum majlis akad nikah bermula 1 Februari 2021.

Gambar hiasan

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, bakal pengantin perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) COVID-19 kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

Ujian saringan tersebut boleh dilakukan dimana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf KKM termasuk swasta dengan kos yang perlu ditanggung sendiri.

Bagi bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri pula perlu mendapatkan kebenaran merentas daripada pihak polis kerana JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak akan mengeluarkan sebarang surat sokongan untuk merentas daerah atau negeri.

Akad nikah juga akan dilaksanakan di PAID dan hanya boleh dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, nampaknya keputusan ini menerima kritikan netizen yang menganggap ia hanyalah akan menyukarkan lagi untuk bakal pengantin dan memerlukan mereka mengeluarkan kos tambahan bagi melakukan ujian swab tersebut.

Namun begitu, ada juga yang memberi pandangan usaha ini salah satu jalan terbaik bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Hm, macam mana pula dengan pendapat korang?

Sumber: Harian Metro

IKLAN