Berita

Badan Fit Bukan Jaminan, Pengalaman Peribadi Dr Say Tentang Kolesterol Tinggi

Share

Menurut Dr Say, beliau menjadikan ujian darah penuh sebagai rutin tahunan setiap 1 Januari bagi menilai tahap kesihatan dalaman. Tahun ini, rutin tersebut sedikit tertangguh akibat komitmen latihan yang padat sejak awal tahun.

“Tahun ni lambat sikit sebab pack of training dari first Jan,” tulisnya secara ringkas.

Hanya pada 13 Januari barulah beliau sempat menjalani full blood test. Apabila keputusan diterima, reaksi beliau jelas menggambarkan kejutan besar. “Resultnya keluar semalam dan terduduk saya ni buatnya.”

Keputusan Umum Normal, Tapi Ada Satu Amaran Besar

Secara keseluruhan, keputusan ujian menunjukkan kebanyakan bacaan berada dalam keadaan baik. Sel darah merah dan putih normal, fungsi hati serta ujian air kencing tidak menunjukkan sebarang masalah.

Bacaan gula dalam darah juga berada dalam julat normal, satu perkara yang cukup melegakan memandangkan beliau mempunyai sejarah keluarga diabetes.

“Status gula yang saya sedikit takut sebab mak saya ada kencing manis pun Alhamdulillah okey,” kongsinya.

Status buah pinggang Dr Say yang berada di tahap 2 Chronic Kidney Disease juga kekal stabil. “Alhamdulillah masih di tahap 2, tidak meneruk,” jelas beliau.

Kolesterol Tinggi Walaupun Workout Setiap Hari

Namun kebimbangan sebenar muncul apabila Dr Say melihat bacaan kolesterolnya. Bacaan kolesterol keseluruhan mencecah 7.7, jauh melebihi paras normal di bawah 5.2. Lebih membimbangkan, kolesterol jahat LDL berada pada bacaan 5.9, lebih dua kali ganda had disarankan.

“Kat sini saya teruduk teruk,” tulisnya. Apatah lagi apabila dibandingkan dengan keputusan pada 1 Januari 2025, di mana kolesterol keseluruhan beliau adalah 7 dan LDL pada 5.

Peningkatan ini berlaku walaupun Dr Say menjalani latihan larian dan Hyrox hampir setiap hari, sekali gus mematahkan persepsi bahawa badan fit sentiasa melambangkan kesihatan dalaman yang baik.

Dr Say menjelaskan bahawa kolesterol tinggi yang dialaminya bukan berpunca daripada gaya hidup tidak sihat. Bacaan gula, triglycerides dan HDL berada dalam keadaan normal.

Pemeriksaan Kesihatan Bukan Tanda Lemah

Lebih daripada sekadar perkongsian peribadi, mesej Dr Say jelas ditujukan kepada masyarakat umum.

Ramai masih takut menjalani pemeriksaan kesihatan kerana merasakan diri sihat atau tidak mahu berdepan dengan keputusan yang tidak dijangka.

“Kalau korang masih lagi takut nak cek, don’t be,” tulisnya. Bagi Dr Say, pemeriksaan awal adalah satu bentuk tanggungjawab, bukan kelemahan.

“Nyawa kita sekarang sangat berharga kepada orang di sekeliling kita,” tambahnya, mengingatkan bahawa kesihatan bukan hanya tentang diri sendiri.

Akhirnya, kisah Dr Say membawa satu kesimpulan yang sangat jelas. Fizikal yang fit, rutin senaman yang konsisten dan badan yang nampak sihat bukanlah jaminan mutlak terhadap kesihatan dalaman.

Pemeriksaan kesihatan berkala kekal sebagai langkah paling penting untuk mengesan risiko awal sebelum ia menjadi sesuatu yang terlambat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy