
Memasuki minggu keempat tayangan, Thariq Ridzuwan: His Treasure membawakan dua episod yang benar-benar menguji kesetiaan dan kekuatan cinta di antara Thariq (lakonan Meerqeen) dan Radwa (lakonan Qasrina Karim!
Episod ketujuh pada minggu ini membawa penonton untuk menyaksikan majlis perkahwinan di antara Thalia (Wan Nasuha) dan Haider (Darien Aeldra).
Begitupun, majlis tersebut bertukar menjadi medan fitnah, ugutan dan konflik sehingga memaksa Thariq serta Radwa berdepan tekanan sehebat permintaan cerai!
Thariq dan Radwa pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga mereka. Suasana bertukar tegang apabila Aina (Mia Sara Shauki) muncul dan mengugut untuk menghancurkan rumah tangga mereka. Radwa lantas merasa tidak selesa bila momen tersebut diperhatikan oleh Aril, abang ipar Aina.
Pada malam tersebut, Aril mula mengganggu Radwa. Dalam pada itu, Aina menyebarkan fitnah kononnya Radwa tidak mahukan anak sehingga membuatkan orang di sekeliling memandang serong. Keadaan semakin teruk bila Aina menuduh Radwa memukulnya sehingga menjadikan Thariq marah, membelasah Aril lalu menghalaunya keluar.
Walaupun majlis perkahwinan Thalia dan Haider berjalan lancar, peristiwa tersebut tetap mendatangkan kesan emosi terhadap Radwa yang dituduh sebagai punca rumah tangga Aina hancur.
Pertengkaran besar berlaku di antara mereka berdua sehinggakan Radwa hampir hilang kawalan. Melihat keadaan tersebut, Thariq cepat-cepat membawa Radwa pulang ke Kuala Lumpur.
Setelah sampai rumah, mereka dikejutkan dengan kehadiran Rozita (Nadia Mustafar), Husaini (Manan Sulaiman) dan Raudhah (Myra Afrina) di mana Rozita mendesak Thariq menceraikan Radwa dan mengahwini Raudhah.
Haihh, pedihnya lahai kehidupan Radwa!
Rozita memberi syarat pada Radwa sekiranya dia inginkan kemaafan daripadanya, Radwa perlu bercerai dengan Thariq.
Hal itu membuatkan Radwa serba salah dan merasa tertekan. Sekali lagi, Thariq came to the rescue apabila menghalau Rozita pulang.
Thariq mengambil keputusan untuk singgah di rumah Rozita dan membincangkan permintaannya untuk berkahwin dengan Raudhah. Namun, sesi tersebut tergendala apabila pihak polis datang dan mendedahkan Raudhah telah dirogol. Situasi tersebut memancing kemarahan Rozita yang merasakan Thariq cuba mengenakan dirinya.
Di Teduh, Budi cemas apabila Fateh hilang dan memaklumkan hal tersebut kepada Thariq. Thariq mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan menceritakan hal tersebut kepada Zizy.
Husaini cuba memujuk Radwa untuk bercerai dan Radwa bengang setelah mendapat tahu bahawa Thariq sudah lama tahu tentang hal itu.
Pertengkaran tercetus dan keadaan menjadi lebih teruk selepas Radwa menerima gambar Thariq serta Raudhah berdua. Pembongkaran gambar itu membuatkannya terluka dan usai Thariq pulang, Radwa dalam nada lemah hanya minta satu perkara iaitu penceraian.
Nak tahu apa yang bakal terjadi, nantikan episod-episod Thariq Ridzuwan: His Treasure yang seterusnya pada setiap hari Rabu dan Khamis di Astro One, Astro Ria (saluran 104) dan sooka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.