
Baru-baru ini, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pelumba elit dunia apabila meraih pingat emas dalam acara keirin elit pada Kejohanan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, pada Khamis.
Pelumba yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu, mewakili Team Azizul, bagaimanapun berjaya mengetepikan cabaran pelumba Indonesia, Dika Alif Dhentaka yang meraih perak, manakala gangsa menjadi milik To Cheuk Hei dari Hong Kong dalam perlumbaan final yang sengit.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara yang turut beraksi dalam final keirin elit lelaki, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima, sekaligus menampilkan persaingan sengit dalam kalangan pelumba serantau.
Pada masa yang sama, kejayaan kem negara diteruskan dalam acara keirin wanita elit apabila Nurul Alyssa Farid muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang meraih pingat perak, manakala pelumba Hong Kong, Cho Yiu Yeung, menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
Sehubungan itu, Azizulhasni juga menetapkan sasaran untuk kembali mencatatkan masa terbaik peribadi dalam acara pecut sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
“Pada kejohanan ini, masa yang saya catatkan dalam acara pecut antara 9.5 hingga 9.9 saat berbanding di Olimpik masa terbaik saya 9.4 saat, bagaimanapun untuk pelumbaan seperti ini, ia suatu catatan yang baik walaupun cabarannya bukan mudah,” katanya.
“Untuk dapatkan catatan masa 9.8 atau 9.9 saat itu sudah dilihat sebagai cabaran besar apa lagi jika mahu mendapatkan 9.4s. Namun, saya perlu berusaha keras untuk kekalkan prestasi baik ini jika mahu mencapai kembali masa terbaik 9.4 saat yang pernah dilakukan sebelum ini,” jelasnya lagi.
“Sasaran KPI (petunjuk prestasi utama) saya adalah menjelang Sukan Komanwel tahun ini, walaupun masih ada masa, tapi saya tidak anggap ia terlalu lama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Azizulhasni mengakui beliau tidak lagi boleh berlumba secara terlalu agresif seperti sebelum ini berikutan beberapa faktor, namun optimis graf prestasinya akan terus meningkat dari satu kejohanan ke kejohanan lain menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Sementara itu, Muhammad Ridwan Sahrom yang beraksi bersama pasukan Malaysia A mengakui berdepan cabaran sukar dalam acara keirin apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, selepas meraih pingat gangsa dalam acara pecut elit, semalam.
“Walaupun hari ini gagal meraih sebarang pingat kerana cabaran dalam acara keirin bukan mudah, namun saya tetap puas hati,” katanya.
Beliau turut menjelaskan fokusnya ketika ini adalah untuk memburu catatan masa terbaik bagi melayakkan diri ke kejohanan dunia pada Mac depan, selain menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform persiapan menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) tahun ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.