
Anak gadis kepada Datuk Sri Azalina Othman Said, Azareena baru-baru ini mencuri perhatian apabila berjaya meraih kejayaan membanggakan selepas memperoleh Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Penulisan Kreatif dari University of Essex. Pencapaian tersebut menjadi satu detik bermakna buat keluarga, khususnya apabila Azareena berjaya membuktikan kesungguhan dan dedikasinya dalam bidang yang diceburi.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram Datuk Sri Azalina, beliau meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih oleh puteri kesayangannya itu serta sempat menitipkan doa dan kata-kata semangat agar Azareena terus melangkah maju dengan penuh keyakinan dalam mengejar impian serta membina masa depan yang lebih gemilang.
“Tahniah anakanda tersayang Azareena. Saya sangat bangga dengan kejayaan kamu, terutamanya kerana telah mencapai keputusan yang begitu cemerlang dengan memperoleh Ijazah Kepujian Kelas Pertama (First Class Honours) dalam bidang Penulisan Kreatif dari University of Essex.
Saya amat bersyukur kepada Allah atas kejayaan, rezeki, serta kesihatan yang dikurniakan kepada kamu,” tulisnya.
Menurut Datuk Sri Azalina yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), kejayaan akademik yang dicapai Azareena bukan sekadar satu pencapaian, malah menjadi simbol kepada usaha, komitmen dan keberanian anak muda dalam mengejar bidang yang diminati.
Pada masa yang sama, beliau berharap perjalanan baharu yang bakal ditempuhi anaknya selepas tamat pengajian akan dipenuhi dengan peluang serta pengalaman yang berharga.
“Apabila kamu melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya, teruskanlah dengan keberanian untuk mengejar impian kamu,” katanya.
Dalam perkongsian tersebut, beliau turut mengingatkan Azareena agar sentiasa percaya kepada kemampuan diri sendiri, di samping mengekalkan sikap rendah hati walau berdepan dengan pelbagai kejayaan. Nasihat itu dilihat sebagai satu pesanan penting buat generasi muda supaya tidak berhenti menimba ilmu dan memperbaiki diri.
BACA: Anak Raih Kepujian Kelas Pertama Di UK, Tengku Zafrul Titip Pesanan Jangan Lupa Pulang Ke Malaysia
Kejayaan Azareena turut menjadi inspirasi bahawa minat, usaha dan kesungguhan mampu membuka ruang untuk seseorang mencapai impian yang diinginkan. Lebih membanggakan apabila beliau berjaya mencipta pencapaian tersendiri dalam bidang kreatif yang memerlukan bakat, pemikiran kritis serta dedikasi tinggi.
Sementara itu, perkongsian berkenaan turut mencuri perhatian warga maya yang rata-rata menitipkan ucapan tahniah serta mendoakan kejayaan berterusan buat Azareena. Kisah perjalanan beliau juga menjadi inspirasi bahawa dengan usaha, keyakinan dan sokongan insan tersayang, impian yang diusahakan mampu direalisasikan.
Sumber: Instagram Datuk Sri Azalina Othman
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.