
Ketika ini sedang berlangsung Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2022 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Atlet-atlet berbakat dari segenap pelusuk Malaysia berhimpun bagi menonjolkan kehebatan masing-masing.
Di sebalik kemeriahan dan kecemerlangan yang ditonjolkan, atlet-atlet lelaki dari Sabah ternyata mencuri perhatian apabila mereka mempamerkan aksi cemerlang dalam acara yang dipertandingkan.

Antara yang menjadi sorotan kamera ialah Pengiran Aidil Auf yang setakat ini telah menggondol tiga emas dalam acara yang disertainya. Anak jati Sabah asal Sandakan itu memperoleh emas dalam acara lelaki 18 tahun 100-m, 200-m dan 4×100-m.
Menerusi acara 100-m, dia telah memastikan gelaran raja pecut menjadi miliknya apabila catatan masa yang diperoleh 10.73 saat melayakkan dia menggenggam pingat emas. Menjadikan kemenangannya lebih manis apabila rakan senegeri, Jad Rizalman Washif berada di kedudukan kedua dengan perbezaan masa hanya 0.03 saat.

Dalam acara 4×100 meter, dia bersama rakan sepasukan, Jad Rizalman Washif, Dexter Bedie dan Muhammad Isyhan telah mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 41.29 saat sekaligus memadam rekod lama yang dipegang atlet Selangor pada 2016 dengan catatan masa 41.32 saat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Raja Pecut Negara, Jad Rizalman Washif Cipta Rekod Baharu MSSD Ranau Menerusi Dua Kategori

Manakala dalam acara larian 200-m pula, remaja Sabah ini mencatat masa 21.80 saat sekaligus mendapat emas dalam genggaman. Mengekorinya dari belakang adalah rakan senegeri, Dexter Bedie dengan catatan masa 22.27 saat cukup untuk melayakkan dirinya menang perak.
Hari ini Pengiran Aidil Auf akan beraksi lagi dalam acara acara 4×400-m, semoga berjaya menempa kejayaan! *Update Terkini: Raih Empat Pingat Emas! Pengiran Aidil Auf Cemerlang Di Kejohanan Olahraga MSSM 2022
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Alumni SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara Dan Penerima Biasiswa Yang Dipertuan Agong Optimis Bergelar Saintis

‘Who wants to be a princess, when you can be a scientist’…
Itulah ayat yang tertera pada pin yang disemat oleh Nurfatihah Zulkifli pada kot putih miliknya saat berada di dalam makmal Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika . Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3 Bandar Kinrara, Puchong ini merupakan pelajar peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Malaya dan bercita-cita menjadi seorang saintis berjaya.

Menjadikan Irene Curie antara idolanya, Nurfatihah percaya yang dia hampir merealisasikan impiannya itu. Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Irene Curie merupakan anak kepada Pierre dan Marie Curie yang mana keluarga ini merupakan penerima Hadiah Nobel sebanyak dua kali.
“Pierre dan Marie Curie, penerima Hadiah Nobel 1903 untuk kajian mereka mengenai radiasi. Lebih menarik ialah Irène juga menjadi seorang saintis setelah dewasa, dan kajiannya mengenai penghasilan isotop baru dari bahan yang selalunya bukan radioaktif juga melayakkannya menerima Hadiah Nobel pada 1935. Bayangkan ada dua penerima Hadiah Nobel dalam satu keluarga!” terangnya mengenai keluarga yang terkenal dalam sejarah pembangunan sains di dunia itu.

Ucapnya lagi yang begitu mengagumi Irene Curie, “Dialah antara idola saya dalam bidang sains. Dan kini saya hampir merealisasi impian saya sejak kecil untuk menjadi seorang saintis sepertinya.”
Menurut Nurfatihah, bidang penyelidikannya dikenali sebagai ‘vaccinology’, di mana beliau dan rakan penyelidik lain sedang berusaha membangunkan platform baharu bagi pembangunan vaksin masa hadapan.
“Mungkin kita sudah biasa mendengar vaksin berasaskan mRNA dan bakteria tidak aktif semasa pembangunan vaksin COVID-19 dahulu, bukan? Apa yang kami bangunkan adalah sesuatu yang berbeza,” terangnya yang cantik berhiijab.
ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang 8 Kali Anugerah Dekan, William Dinobatkan Sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMP

Sedikit info mengenai Nurfatihah, dia merupakan graduan ijazah sarjana muda dari Fakulti Sains Universiti Malaya pada tahun 2019. Semasa bekerja sebagai pembantu penyelidik sebaik tamat pengajiannya, rasa cinta terhadap bidang penyelidikan semakin mekar.
Berkat galakan dari penyelianya yang juga merupakan penyelidik virologi yang tidak asing lagi, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar, minatnya timbul untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi melalui laluan ‘fast track PhD’.

Laluan fast track ini merupakan skim kemasukan khas untuk graduan Universiti Malaya yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda mereka dengan kelulusan kelas pertama yang mendapat gred purata kumulatif melebihi 3.70. Para pemohon dibenarkan untuk mendaftar di peringkat ijazah kedoktoran (PhD), tanpa perlu menyiapkan ijazah sarjana (Masters) terlebih dahulu.
Menjadikan pencapaiannya lebih hebat, bermula Oktober 2022, anak ketiga dari lima adik-beradik ini juga merupakan salah seorang penerima Hadiah Biasiswa Yang Dipertuan Agong bagi meneruskan pengajiannya di peringkat PhD. Nurfatihah merupakan satu-satunya pelajar Universiti Malaya yang menerima biasiswa tersebut tahun ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber & Kredit foto: Facebook Universiti Malaya/Mohd. Fadhli Yong
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isu Perubahan Iklim Diangkat Artis Kontemporari Malaysia Untuk ‘Cover’ Majalah TIME

Biarpun mengambil sedikit masa, semakin ramai artis seni kontemporari tempatan yang menerima pengiktirafan selayaknya hasil daripada kreativiti dan tenaga yang dikerah untuk menghasilkan karya seni bertaraf antarabangsa.
Terbaru, seorang seniman kontemporari bernama Red Hong Yi telah menempa nama selaku pencipta karya seni yang dijadikan sebagai penghias wajah hadapan atau cover majalah antarabangsa, TIME Magazine.
Red Hong Yi. Sumber Foto: Instagram @redhongyi.
Menerusi muat naik di akaun Instagram, artis kelahiran Sabah ini menjelaskan tentang pemilihan konsep perubahan iklim sebagai cover majalah yang bakal dilancarkan pada 24 April nanti.
“Kami (dia dan pasukannya) melekatkan batang-batang mancis tanpa henti selama lapan jam sehari, sepanjang tempoh dua minggu. Kemudiannya, ia dibakar dalam masa dua minit saja untuk jurufoto dan juruvideo merakamkannya.
“Saya benar-benar berbesar hati kerana telah menghasilkan karya istimewa untuk isu TIME Magazine pada bulan kesedaran perubahan iklim ini.”
“Apabila pandemik COVID-19 terus merebak di seluruh dunia, kita semakin diingatkan bahawa tiada negara yang terkecuali dalam soal krisis global. Sama ada ia pandemik, keruntuhan ekonomi atau dalam isu yang diketengahkan ini, masalah perubahan iklim yang perlu ditangani,” catatnya.


Menariknya, cover majalah ini mendapat sentuhan daripada seniman Malaysia sendiri apabila foto tersebut telah ditangkap oleh pengasas Women Photographers Malaysia, Annice Lyn.
Untuk pengetahuan, Red terdahulu merupakan seorang arkitek dan pernah melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Melbourne, Australia sebelum beralih arah ke bidang seni kontemporari.
*
Sebelum ini, REMAJA pernah melaporkan mengenai artis seni remaja yang dipilih untuk menghasilkan mural di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN : Pemuda Ini Berjaya Hasilkan 12 Lakaran Haiwan Terancam Di Papan Iklan KLCC – REMAJA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hari Malaysia Disambut Dengan Pengucapan Awam Lantang 6 Pelajar Sekolah Menengah

Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi (15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu Encik Rusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
*
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juara pada hari ini.

Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Juara Pengucapan Awam #SayaRemajaMalaysia ‘Menang Besar’ Di Hari Malaysia – REMAJA
Tempat kedua pula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil (Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

