
Jaguh olahraga negara, Armin Zahryl Abd. Latif baru-baru ini meraih perhatian apabila berjaya mencipta sejarah baru selepas sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 110 meter (m) lari berpagar pada final Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B23) 2026 yang berlangsung di Ordos, China.
Memetik laporan Stadium Astro, Armin memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas merekodkan catatan masa 13.58 saat (s) ketika aksi final, sekaligus memperbaiki rekod 13.63s yang diciptanya pada pusingan saringan sebelum itu.
Difahamkan, atlet yang kini berusia 21 tahun tersebut menamatkan saingan di tempat keempat, namun pencapaian itu tetap menjadi detik membanggakan apabila beliau berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Lebih membanggakan, catatan terbaharu Armin turut mengatasi rekod lama 13.67s milik legenda acara lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian yang bertahan hampir sembilan tahun sejak dicipta pada 2017.
Dalam aksi final tersebut, pingat emas menjadi milik wakil tuan rumah, Zhao Shiqi selepas mencatat masa 13.38s, manakala rakan senegaranya Zhang Zijun meraih perak dengan catatan 13.41s. Atlet Qatar, Oumar Dadai pula membawa pulang gangsa menerusi catatan 13.56s.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xian turut mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dengan catatan 13.85s.
BACA: Bukan Lahir Senang, Tapi Tak Pernah Mengalah —Kisah Inspirasi Armin Zahryl
Elvin sebelum itu mencipta rekod peribadi (PB) baharu dalam aksi saringan selepas merekodkan masa 13.72s, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan pelari muda negara bagi acara 110m lari berpagar.
Walau bagaimanapun, prestasi yang ditampilkan Armin dan Elvin menjadi petanda cerah buat arena olahraga Malaysia, khususnya dalam acara 110m lari berpagar lelaki yang kini kembali menunjukkan potensi untuk bersaing di peringkat Asia dan Asia Tenggara. Tahniah!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.