Sukan

Kad Kahwin Pernah Tular, Arif Aiman Kini Sah Bergelar Suami

Share

Pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanafi, baru-baru ini mencuri perhatian di media sosial apabila selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri dalam sebuah majlis penuh emosi.

Difahamkan, majlis akad nikah kedua mempelai itu telah berlangsung di Johor Bahru pada Isnin dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak. Pasangan sama cantik sama padan itu juga tampil anggun mengenakan busana serba putih yang menyerlahkan lagi seri pengantin baru.

Menerusi beberapa video yang tular di media sosial memperlihatkan suasana penuh bahagia sepanjang majlis berlangsung. Namun, antara momen yang paling menyentuh hati ramai apabila Arif dilihat gagal menahan sebak sejurus selesai melafazkan akad nikah.

BACA: Sentiasa Tampil Aksi Cemerlang, AFC Label Arif Aiman ‘Budak Ajaib’

Pemain sensasi berusia 24 tahun itu turut dilihat memeluk ibunya dalam keadaan penuh emosi selepas bergelar suami. Momen tersebut nyata mengundang rasa terharu dalam kalangan peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa buat pasangan berkenaan.

Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan itu difahamkan berlangsung pada sebelah malam dengan suasana lebih meriah dan eksklusif. Kehadiran beberapa individu kenamaan turut menjadi perhatian tetamu serta peminat di media sosial.

BACA: Arif Aiman Angkat Martabat Bola Sepak Negara, Tercalon Pemain Terbaik AFC

Pada masa yang sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor juga dilihat hadir memeriahkan majlis berkenaan sekaligus menyerikan lagi hari istimewa pasangan tersebut.

Sebelum ini, kad undangan majlis pernikahan Arif sempat mencuri perhatian apabila tular di media sosial sehingga mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan. Ramai yang meluahkan rasa gembira melihat pemain tonggak JDT itu akhirnya menamatkan zaman bujang.

Untuk rekod, Arif Aiman merupakan antara pemain muda paling menyerlah dalam arena bola sepak tempatan dan sering menjadi perhatian peminat sukan tanah air. Kini, selain terus memberi fokus di atas padang bersama JDT, kehidupannya turut memasuki fasa baru sebagai seorang suami.

Sumber foto: Facebook Rasmi Tengku Mahkota Johor

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
ZOE