
Baru-baru ini, satu fenomena baru berkaitan gaya hidup solo semakin mendapat perhatian di China apabila sebuah aplikasi mudah alih dengan konsep keselamatan diri menjadi tular dalam kalangan anak muda, khususnya mereka yang memilih untuk tinggal bersendirian di kawasan bandar yang serba pantas dan individualistik.
Difahamkan, aplikasi yang dikenali sebagai ‘Are You D**d?’ itu berfungsi sebagai sistem semakan status hidup, di mana setiap pengguna perlu melakukan ‘check-in’ setiap dua hari hanya dengan menekan satu butang bagi mengesahkan mereka masih selamat.
Sekiranya pengguna gagal berbuat demikian, aplikasi berkenaan akan secara automatik menghubungi individu yang telah ditetapkan sebagai kontak kecemasan untuk memaklumkan kemungkinan berlaku kecemasan kepada pengguna tersebut.
Walaupun baru sahaja dilancarkan pada Mei tahun lalu tanpa perhatian besar, aplikasi ini mula menjadi fenomena sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila ia mula dimuat turun secara besar-besaran oleh golongan muda yang tinggal bersendirian di bandar-bandar utama China.
Pada masa yang sama, fenomena ini turut dipengaruhi trend peningkatan isi rumah solo, apabila menurut laporan Global Times, China dijangka mempunyai sehingga 200 juta isi rumah berpenghuni tunggal menjelang tahun 2030.
Di samping itu, aplikasi ini menyasarkan golongan tersebut dan digambarkan sebagai teman keselamatan untuk individu yang tinggal bersendirian, termasuk pekerja pejabat, pelajar yang berjauhan dengan keluarga serta mereka yang memilih gaya hidup solo.
Menurut pandangan salah seorang pengguna media sosial di China, keperluan terhadap aplikasi seumpama ini merangkumi individu yang hidup sendirian pada pelbagai peringkat kehidupan, termasuk golongan introvert, mereka yang mengalami kemurungan, penganggur serta individu dalam situasi rentan.
“Ada ketakutan bahawa mereka yang hidup sendirian mungkin meninggal tanpa disedari, tiada siapa yang boleh dihubungi untuk membantu. Kadang-kadang saya terfikir, jika saya mati sendirian, siapa yang akan menguruskan mayat saya?,” kata seorang lagi pengguna yang meluahkan kebimbangan.
Sementara itu, aplikasi ini turut mencetuskan perdebatan berhubung namanya yang dianggap kontroversi, sehingga ada pihak mencadangkan ia ditukar kepada nama lebih positif. Namun, menurut syarikat pembangunnya, Moonscape Technologies memaklumkan cadangan itu sedang dipertimbangkan, meskipun aplikasi berkenaan mencatat kejayaan apabila tersenarai antara aplikasi berbayar paling banyak dimuat turun di beberapa negara.
Di sebalik kejayaan itu, aplikasi berkenaan dibangunkan oleh tiga individu kelahiran selepas 1995 di Zhengzhou, Henan dengan kos sekitar 1,000 yuan (kira-kira RM590). Mereka merancang untuk menjual sebahagian saham syarikat serta memperluaskan pembangunan produk baharu khusus untuk warga emas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.