Gaya Hidup

Apa Erti Kemerdekaan Sebenar Bagi 4 Pempengaruh Terkenal Malaysia Ini?

Share

Sambutan Hari Kebangsaan mungkin telah berakhir pada 31 Ogos yang lalu, namun rasa cinta yang disemat oleh anak muda terhadap negara kita seharusnya tidak tertakluk kepada satu tarikh tunggal.

Kemerdekaan yang dikecapi oleh Tanah Malaya 68 tahun yang lalu tidak hadir secara mudah. Pelbagai onak dan duri yang perlu dilalui oleh pemimpin terdahulu demi menjamin masa depan Malaysia yang kekal aman, harmoni dan berdaya saing pada zaman ini malah untuk berpuluh-puluh tahun yang mendatang.

Jika pada era lampau, semangat patriotisme akan dilaungkan oleh para pemimpin bagi memastikan setiap rakyat Malaysia memahami kepentingan untuk mensyukuri segala nikmat yang kita ada di negara ini serta bersedia untuk mempertahankannya dengan segala kudrat yang ada.

Pada era kini, suara sebegitu wajar dilaungkan oleh generasi muda terutamanya pempengaruh digital yang ‘memimpin’ pandangan khalayak Generasi Z dan Alpha yang bakal mengelolakan negara, suatu hari nanti.

Memetik pandangan pempengaruh terkenal, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun di platform media sosialnya, kemajuan Malaysia bukan hanya terletak pada pembangunan ekonomi dan infrastrukturnya sahaja. Malah kemajuan juga dapat ditelek daripada perpaduan dalam kalangan masyarakatnya.

Mek Yun.

“Uniknya negara ini kerana sejak di sekolah lagi, kita bergaul dengan rakan berbeza kaum dan agama. Malah setiap negeri ada tutur dialeknya yang tersendiri.

“Mana lagi kita boleh jumpa orang berbeza kaum dan agama duduk semeja untuk makan roti canai, char kuetiau dan rendang?

“Bayangkan kalau kita masih dijajah, mungkin kita tidak dapat nikmati apa yang ada sekarang dan tidak boleh pun makan nasi lemak bila-bila masa kita suka. Semua itu hanya ada di sini dan itu membuatkan saya bangga menjadi anak Malaysia,” kata gadis berbangsa Cina yang fasih bertutur dalam dialek Kelantan itu.

Sentimen yang sama dikongsi oleh seorang lagi pencipta kandungan media sosial, Azfar Heri. Menerusi ciapannya baru-baru ini, Azfar meluahkan rasa bangganya untuk menjadi rakyat Malaysia.

“Pergilah merantau ke negara mana pun, makanan Malaysia juga yang tetap di hati. Selamat Hari Merdeka yang ke-68 tahun Malaysia,” katanya yang sering berkunjung ke negara luar.

Azfar Heri menyarungkan busana pereka fesyen tempatan, Hasz Hisham ketika menerima undangan ke acara KLFW 2025, baru-baru ini.

Azfar juga dilihat sering mengetengahkan rasa cintanya terhadap negara dengan memilih untuk menggayakan busana ciptaan pereka fesyen tempatan. Sekaligus, Azfar meraikan kreativiti dan keunikan yang diserlahkan oleh anak-anak muda tempatan dalam dunia fesyen di mata pengikutnya.

Dalam pada itu, pelakon dan pempengaruh yang berasal dari Kuching, Sarawak iaitu Hun Haqeem juga bersyukur dilahirkan di Malaysia dan dengan kemunculan platform media sosial, Hun dapat melihat betapa sayangnya dunia terhadap keharmonian yang dimiliki oleh Malaysia.

Hun Haqeem.

“Semasa saya di sekolah menengah, saya sertai Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan sempat menyertai rakan-rakan lain untuk perbarisan di dataran pada Hari Merdeka. Ia menunjukkan semangat kemerdekaan kita sebagai rakyat Malaysia sejak usia kecil tanpa mengira kaum.

“Berdasar konten-konten media sosial sekarang pula, Malaysia mendapat perhatian mata luar. Pengunjung luar yang ke sini sentiasa rasa negara kita harmoni, aman malah rakyat kita bijak berkomunikasi dengan sesiapa sahaja,” ulasnya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Bercakap soal konten, rakyat Malaysia mana sahaja yang tidak mengenali nama Boss James? Selain aktif di mdia sosial, jejaka bernama Ng Yee Sheng, 32 ini juga aktif dengan kerja-kerja kebajikan yang dikerahkan untuk masyarakat di sekeliling.

Baru-baru ini, Boss James berkesempatan untuk turut serta dalam perbarisan Hari Kemerdekaan dan sedikit sebanyak, merasai betapa bangganya ahli beruniform negara apabila mereka diraikan sebegitu rupa di hadapan jutaan rakyat Malaysia yang menonton perbarisan tempoh hari.

Boss James.

“Merdeka bermaksud membebaskan diri kita daripada mentaliti yang mundur. Ia juga bermaksud mengekalkan rasa bersatu-padu dan saling menghormati antara kita semua. Saya harap anak muda memahami maksud kemerdekaan dan mempertahamkan nilai keamanan, keharmonian dan terus membangunkan negara.

“Tanpa kesejahteraan negara dan kemajuan ekonomi, sudah pasti apa yang kita semua usahakan akan sukar dan berdepan cabaran,” katanya.

*

Berteraskan Rukun Negara, ayuh sama-sama kita mengekalkan nikmat keharmonian yang kita miliki sekarang. Di kala banyak negara yang mula bergolak akibat perbezaan pandangan dan isu kenegaraan mereka, moga-moga Malaysia terus dibangunkan dengan aman oleh rakyatnya yang saling mengasihi antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, agama dan budaya.

SUMBER: (1) (2) (3) (4)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ