
Lazimnya, sesebuah drama dihasilkan berdasarkan kisah atau isu yang berlaku dalam dunia sebenar. Namun kali ini, situasinya berlaku sebaliknya apabila jalan cerita daripada sebuah drama popular Netflix menjadi inspirasi kepada pelaksanaan dasar di dunia nyata.
Drama Korea Selatan Teach You a Lesson yang mula ditayangkan bulan lalu berjaya mencuri perhatian ramai menerusi kisah sebuah organisasi fiksyen dikenali sebagai Biro Perlindungan Hak Pendidikan.
Dalam naskhah tersebut, biro berkenaan diwujudkan bagi melindungi mangsa buli, menangani individu yang mengganggu ketenteraman di sekolah selain mengembalikan semula autoriti golongan pendidik.
Menariknya, Korea Selatan kini menubuhkan sebuah organisasi yang mempunyai fungsi hampir sama dengan biro yang dipaparkan dalam drama tersebut.
Penubuhan agensi itu diumumkan oleh Penguasa Pendidikan Gyeonggi, An Min-suk pada Isnin selepas beliau menandatangani protokol pengurusan bagi menubuhkan agensi perlindungan hak guru.
“Guru tidak lagi akan dibiarkan bersendirian,” katanya.
Agensi yang diketuai sendiri oleh An itu bakal memantau kes berkaitan pencabulan hak guru, dakwaan penderaan kanak-kanak serta aduan berniat jahat terhadap warga pendidik.
Bagi memastikan setiap kes dikendalikan secara menyeluruh, agensi tersebut dibahagikan kepada dua unit utama iaitu Pasukan Perlindungan Hak Guru 119 dan Pasukan Sokongan Perundangan Bersepadu.
Kesemua tugas serta pengendalian kes oleh kedua-dua unit itu akan dilaporkan secara terus kepada Penguasa Pendidikan.
Pasukan Perlindungan Hak Guru 119 pula akan dianggotai kira-kira 50 pegawai khas yang dipilih menerusi proses pemilihan terbuka.
Setiap pegawai akan memberikan sokongan secara individu kepada guru yang terjejas bermula daripada proses laporan awal sehingga sesuatu kes diselesaikan. Pasukan itu juga bertanggungjawab menerima serta mengendalikan aduan daripada ibu bapa bagi pihak guru.
Sementara itu, Pasukan Sokongan Perundangan Bersepadu akan bekerjasama rapat dengan pasukan perlindungan hak guru dan turut melibatkan peguam yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang pendidikan.
Mereka akan menjalankan siasatan di lokasi, memberikan khidmat nasihat perundangan serta membantu dalam urusan litigasi.
Bagi memperkukuhkan pasukan berkenaan, pihak berkuasa wilayah akan merekrut pegawai pendidikan, guru yang masih berkhidmat dan telah bersara serta pakar luar menerusi permohonan terbuka selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
Menurut An, setiap aduan akan dikendalikan dengan segera dan guru yang terlibat akan terus menerima sokongan sepanjang proses pemulihan.
“Semua aduan akan dikendalikan dengan segera di bawah tanggungjawab agensi perlindungan hak guru dan kami juga akan terus bertanggungjawab sepanjang proses pemulihan.
“Pejabat Pendidikan Wilayah akan terus bersama guru sekiranya hak mereka dicabuli, dari awal hingga akhir, supaya mereka tidak perlu menanggung beban itu sendirian.
“Kami akan membina sistem perlindungan yang membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran tanpa tekanan daripada aduan atau tindakan undang-undang,” ujar An.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.