
Anak kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, iaitu Dzahira Thalita Zahra atau lebih mesra disapa Thalita, berdepan detik cemas apabila terkena minyak panas dalam kejadian yang berlaku di dapur rumah mereka kelmarin.
Menurut ibu tirinya yang juga personaliti media sosial, Watie Hanifiah, insiden itu berlaku ketika Thalita sedang membantunya menggoreng kentang buatan sendiri (homemade).

“Kejadian berlaku ketika kami berada di dapur untuk menggoreng kentang buatan sendiri (homemade).
“Kemudian minyak sudah dipanaskan terlampau lama dan ketika mahu mula memasukkan kentang ke dalam kuali, mungkin ada terkena percikan air sebelum meletup,” jelasnya kepada pemberita.
Akibat kejadian tersebut, Thalita yang berusia 12 tahun mengalami luka melecur di bahagian muka dan tangan, sehingga menimbulkan suasana panik di rumah mereka.

“Selepas kena, memang meraunglah dan semua yang ada dalam rumah panik sehingga pening cara untuk berikan rawatan awal, cari ubat pun sudah tak jumpa,” kata Watie lagi.
Lebih menyentuh hati, Watie turut berkongsi bagaimana Thalita sempat mempersoalkan sama ada dirinya ada melakukan kesalahan sehingga ‘dihukum’ dengan kesakitan itu.
“Sambil dia meraung, sempat bertanya ‘Thalita ada buat salah atau sakitkan hati mummy dengan daddy atau individu lain ke?’
“Dia asyik berfikir tentang kejadian tersebut dan tertanya-tanya mengapa Allah SWT beri rasa sakit itu kepadanya.
“Bahkan dia juga bertanya dan risau sama ada kesan minyak panas pada mukanya akan membuatkan wajahnya hodoh,” ujar Watie.

Sebagai seorang ibu, Watie sudah tentu hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya.
“Doakan dia cepat sembuh dan kalau ada tips untuk pulihkan kesan melecur disebabkan minyak panas, tolong kongsi,” katanya.
Terdahulu, Watie turut memuat naik foto keadaan Thalita selepas kejadian tersebut menerusi hantaran Instagram. Ramai warganet tampil mendoakan kesembuhan anak kepada Allahyarham Siti Sarah itu, selain memberikan sokongan moral kepada keluarga mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!























