“Anak Pun Sudah Besar…” -Yasin Sulaiman Akhirnya Pulang Selepas Empat Tahun Di Hospital Bahagia

Share

Selepas melalui tempoh yang cukup panjang, penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman akhirnya dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga selepas menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Berita gembira itu dikongsikan oleh sahabatnya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi satu hantaran di laman sosial Threads, malam tadi.

Menurut Akbar, penyanyi berusia 51 tahun itu kini sedang dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.

“Ya Allah, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara.

“Ini semua kuasa Allah SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Akbar Sempat Hubungi Yasin

Dalam masa sama, Akbar turut berkongsi bahawa dia sempat menghubungi Yasin bagi mengetahui keadaan terkini sahabatnya itu.

Menurutnya, ketika dihubungi, Yasin sedang dalam perjalanan pulang dan berada berhampiran kawasan Tapah.

“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu ‘update’ terbaru saya bersama beliau nanti. Insya-Allah. Kami sangat gembira,” ujarnya.

Perkongsian tersebut sekali gus membawa khabar gembira buat peminat dan mereka yang sudah sekian lama mengikuti perkembangan penyanyi itu.

Pernah Ditempatkan Semula Di Hospital Bahagia

Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan diperintahkan untuk ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan oleh komposer terbabit.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin selepas dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Kini, selepas lebih empat tahun melalui pelbagai fasa dalam hidupnya, Yasin akhirnya dibenarkan pulang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath