Anak Leftenan Kolonel Selamat Bergelar Isteri Penyanyi Aizat Amdan

Share

 

Dengan sekali lafaz, penyanyi Aizat Amdan selamat diijab kabulkan dengan pasangan pilihan, Elyssa Alia Illias dalam sebuah majlis akad nikah di Puchong, Selangor sekitar pukul 9.17 pagi tadi.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen sambil disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dan hampir 100 orang hadirin dengan mas kahwin RM300.

Dalam majlis tersebut juga, pihak pengantin lelaki telah menghantar tiga dulang hantaran dan dibalas dengan lima dulang. Begitupun, kedua-dua pihak keluarga memilih untuk merahsiakan wang hantaran.

Ketika ditemui oleh pihak media, Aizat menyifatkan perkahwinan mereka pada hari ini sebagai fasa permulaan baharu. Setelah sekian lama peminat dan media bertanyakan soal jodoh kepada Aizat, kini semuanya terjawab juga.

Beralih ke soal perancangan berbulan madu pula, Aizat berkongsi impian mereka berdua untuk ke Tulum, Mexico.

“Saya ada angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai, manakala Elyssa pula ada impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai.

“Insya-Allah, November ini saya akan ke Los Angeles atas urusan kerja dan alang-alang di sana akan ke Tulum untuk bercuti,” katanya.

Terdahulu, Aizat, 33 dan Elyssa, 34 telah saling mengenali hati budi masing-masing selama tiga tahun sebelum mereka membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang setelah acara merisik dilangsungkan pada bulan Februari.

Atas dasar cinta terhadap bakal isterinya pada waktu itu juga, Aizat telah menghasilkan sebuah lagu berjudul Hanya Kita Dua

untuk dedikasikan kepada isterinya.

Tahniah diucapkan kepada Aizat & isteri. REMAJA doakan agar tali perkahwinan akan berkekalan hingga ke penghujung hayat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN