Anak Jati Selangor Cipta Sejarah, Kini Bergelar Grandmaster Catur Pertama Malaysia!

Share

Anak jati Petaling Jaya, Yeoh Li Tian, 25, mencipta sejarah luar biasa apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya meraih gelaran Grandmaster (GM) dalam sukan catur iaitu satu pencapaian tertinggi yang diiktiraf oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Lebih membanggakan, bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik ini menerima gelaran berprestij itu selepas meraih norma ketiganya dan melepasi penarafan 2500 dalam ranking FIDE susulan kemenangannya di Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Dengan pengiktirafan tersebut, Li Tian secara rasmi menyertai kelompok elit kurang daripada 2,000 Grandmaster di seluruh dunia, ia satu pencapaian seumur hidup dalam dunia catur yang sememangnya tidak mudah untuk digapai.

Tiada zaman kanak-kanak?

Untuk sampai ke tahap ini, Li Tian akui laluan yang ditempuh bukan biasa-biasa. Bermula seawal usia tiga tahun, dunia catur sudah menjadi sebahagian besar hidupnya.

“Saya selalu beritahu orang bahawa saya tiada zaman kanak-kanak dan itu mungkin pengorbanan terbesar saya.

“Sejak kecil, termasuk ketika masih di bangku sekolah rendah, rutin harian saya hanyalah pergi ke sekolah, pulang, siapkan kerja rumah dan terus beri tumpuan penuh kepada catur,” katanya.

Li Tian yang pernah menyambung pengajian dalam bidang Matematik di Imperial College London kini melanjutkan pengajian sarjananya di Universiti Malaya.

Cipta momen bermakna di bumi sendiri

Meskipun pernah hampir menggapai kejayaan ini ketika Sukan SEA 2022 di Hanoi, Li Tian akhirnya berjaya melengkapkan norma terakhirnya di tanah air sendiri dan ia ternyata detik yang cukup bermakna buatnya.

“Perasaan saya bercampur antara lega dan terharu kerana akhirnya berjaya melengkapkan norma terakhir di tanah air sendiri.

Momen ini amat istimewa dan saya berharap ia mampu menjadi pencetus semangat buat lebih ramai pemain catur tempatan untuk terus melangkah jauh dalam arena ini,” katanya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Sinar Bestari

Published by
Fath