
Nama Amir Ahnaf mula mencuri perhatian menerusi watak Kahar dalam drama dan filem Projek: High Council. Impak besar daripada karakter tersebut bukan sahaja melonjakkan popularitinya, malah membolehkan dia dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-34tahun lalu.
Namun di sebalik pencapaian itu, Amir masih merendah diri dan menganggap dirinya sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan.
Menurut pelakon berusia 26 tahun ini, perjalanan seninya masih panjang dan penuh proses pembelajaran.
“Saya berusia 26 tahun dan baru empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Saya juga mahu berada lebih lama lagi dalam industri seni tanah air.
“Sebagai pelakon baharu, saya kena bertatih dari naik tangga, berlari dan itu semua langkah demi langkah yang perlu dilakukan.
“Untuk letak diri dalam lingkungan watak utama, saya lebih meletakkan diri saya ke arah meneroka macam budak yang masuk dalam taman permainan dan mahu cuba semua perkara,” katanya.
Bagi Amir, membawa watak pembantu bukan satu langkah ke belakang, sebaliknya peluang untuk mengembangkan kemampuan lakonan.
“Contohnya, saya lakonkan watak pembantu dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven iaitu kawan baik kepada watak utamanya lakonan Mierul Aiman.
“Saya percaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, kalau saya ambil semua watak utama macam mana saya nak kembangkan lagi ‘range acting’ saya?
“Saya tak rasa macam ‘downgrade’ bila bawa watak pembantu sebab setiap watak beri impak yang berbeza dan saya percaya kualiti itu sendiri yang akan menentukan hasil kerja dan nama saya dekat mana dalam industri seni termasuk ‘attitude’ dan disiplin,” katanya.
Ketika ditanya sama ada mahu mengikut jejak Aedy Ashraf sebagai penerbit, Amir mendedahkan dia sebenarnya mempunyai impian berbeza.
“Tapi, pengalaman dan skil tidak mencukupi. Insya-Allah, kalau panggilan itu sampai nanti, saya akan ada di sana.
“Saya juga tidak dapat beri tempoh berapa lama lagi untuk jadi pengarah kerana saya pun tak tahu akan jadi pelakon sebab dulu saya impi nak sambung belajar, cari duit untuk jaga adik-beradik dan ibu bapa, tapi sekarang saya sudah jadi pelakon,” katanya.
Menariknya, bekas peserta Hero Remaja ini bukan sekadar berlakon dalam TARUNG: Unforgiven, malah turut terlibat dalam proses pembangunan idea filem tersebut.
“Saya juga berada dalam ‘writer’s room’ di mana pengarah, penerbit, Aedy dan pelakon, Sky untuk bincang mengenai filem ini sejak filem Kahar Kapla High Council.
“Selepas habis filem itu, kami bincang nak buat filem aksi, tapi mahu angkat Mierul Aiman dan dari situ idea berkembang dan terhasil filem TARUNG: Unforgiven.
“Ia membabitkan gabungan elemen dari semua pelakon iaitu dari saya (silat), Mierul (fighting) dan Aedy, pengalaman ‘street fight’ dan dari pelakon Ubai juga,” katanya.
Walaupun sudah lama tidak membawa watak pembantu, Amir mengakui cabaran utama adalah untuk memastikan lakonannya tidak ‘menenggelamkan’ watak utama.
“Apa yang mencabar bagi saya ialah macam mana saya nak teroka lakonan yang tidak melangkau batas watak utama.
“Tapi, saya tidak ada masalah untuk dapat keserasian dengan Aedy yang juga penerbit dan Mierul kerana kami pernah kerjasama.
“Apa yang menarik ialah gabungan tiga generasi dalam cerita ini iaitu generasi legenda, senior dan Gen Z.
“Pada mulanya, saya fikir susah untuk buat gabungan itu, tapi rupa-rupanya mudah kerana semua pelakon tahu objektif masing-masing dan saya pun gembira di set filem ini,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.